PERAK 17 APRIL: Ahli Parlimen Bukit Gelugor dan peguam terkenal, Karpal Singh maut dalam kemalangan dekat Tapah dekat sini, kira-kira jam 1 pagi tadi.
Pembantunya, Michael Cornandez turut meninggal dunia apabila kereta yang mereka naiki melanggar sebuah lori dalam perjalanan menuju utara di Lebuh Raya Utara Selatan.
Anaknya, Ram Karpal dan pemandu kereta pula dilapor cedera.
Kemalangan berlaku berhampiran kilometer 301.6 arah utara Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).
Gambar di kawasan kemalangan menunjukkan kereta kenderaan Karpal rosak teruk.
Seorang jurucakap polis memberitahu Malaysiakini, kemalangan berlaku apabila Toyota Alphard tersebut merempuh lori yang menukar laluan tanpa memberi isyarat.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melalui twitternya menyifatkan kejadian itu sebagai perkhabaran sedih dan mengucapkan takziah buat keluarga mendiang.
“Perkhabaran sedih. Negara kehilangan tokoh politik & peguam yang berwibawa. Takziah kepada seluruh keluarga mendiang Karpal Singh,” katanya.
Karpal, 74, lumpuh dan menggunakan kerusi roda selepas terbabit dalam satu kemalangan pada 2005.
Ahli politik itu mendapat ijazah perundangan dari Universiti Singapura dan berkhidmat sebagai peguam sebelum bertanding kerusi Parlimen pada 1978.
Perkhidmatan lama beliau sebagai MP Jelutong sebelum ini serta ucapan berapi di Dewan Rakyat menyebabkan beliau digelar ‘Harimau Jelutong’.
Karpal melepaskan jawatan Pengerusi DAP baru-baru ini selepas didapati bersalah dalam kes hasutan.