Oleh: AFEEQA AFEERA
SHAH ALAM 10 APRIL : Kerajaan Selangor terpaksa mengeluarkan peruntukan besar untuk menyelenggara 10 unit kuarters rasmi Exco negeri berikutan kualiti kediaman yang lemah meskipun tempoh pembinaan tidak sampai sepuluh tahun.
Masalah ini diwarisi Pakatan Rakyat (PR) Selangor memandangkan kuarters berkenaan dibina sebelum tahun 2008, iaitu semasa Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri.
Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim, berkata kos penyelenggaraan tidak berubah meskipun Exco memutuskan untuk tidak mendiami kuarters berkenaan.
Katanya teguran Laporan Ketua Audit Negara tidak boleh dianggap sebagai satu pembaziran kerana kediaman ini bukan untuk diniagakan.
“Kita mewarisinya (daripada BN). Kalau semua Exco duduk di banglo tersebut, jumlah penyelenggaraan tetap sama, orang tinggal tak tinggal tetap kena bayar.
“Kalau kita tidak duduk situ maknanya kita tidak gunakan sepenuhnya walhal kalau kita duduk situ lagi banyak kerosakan, ada pakai elektrik, peralatan dan perabot,” katanya yang juga Adun Sungai Pinang.
Teng berkata apabila ahli Exco baru dilantik pada tahun 2013, mereka memutuskan supaya kesemua kuarters itu diagihkan untuk kegunaan mesyuarat atau perjumpaan.
Beliau berkata tiga orang Exco sebelum ini sudah mendiami kuarters berkenaan, namun tidak berpuas hati dengan infrastruktur yang disediakan.
“Apabila kita terima kunci di situ banyak kerosakan berlaku kerana kualiti memang menyakitkan hati, malah ada tiga Exco sudah masuk dan terpaksa keluar kerana paip bukan sahaja pecah tetapi siling juga runtuh.
“Antara exco yang sudah duduki kediaman itu termasuk Dr Dayorah dan Dr Halimah yang mengadu banyak kerosakan, bahkan rumah saya sendiri rosak dan tak dapat digunakan.
“Sebelum itu kerosakannya tidak ketara tetapi apabila mula diduduki, kerosakannya mula dapat dilihat lebih teruk daripada yang kita amati,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Teng berkata kediaman itu pernah cuba disewakan kepada orang ramai, namun tidak mendapat sambutan.
“Dulu kita nak sewa, tetapi tak dapat sambutan. Jual pula tiada orang hendak beli.
“Maka terpaksa juga kita jaga seperti anak sendiri, baik, cantik atau hodoh kena juga kita jaga.
“Menteri Besar menyebut kontrak penyelenggaraan telah ditandatangani sebelum ini, tetapi kalau kosnya terlalu tinggi kita akan batalkan segera,” katanya.
EZY