Categories
SELANGOR

Kes meningkat, usaha perangi Denggi dipergiatkan

Oleh: Norhayati Umor

SHAH ALAM 10 APRIL : Kerajaan Negeri meneruskan usaha giat bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memantau wabak denggi yang meningkat di negeri ini.

Exco Kesihatan, Dr Daroyah Alwi berkata ekoran wabak denggi sejak September 2013 menjadi situasi membimbangkan.

denggi editMaka, Kerajaan Negeri dan PBT melalui mesyuarat khas wabak denggi setiap minggu akan mendapatkan maklum balas dari Jabatan Kesihatan negeri, PBT, Pejabat Daerah dan beberapa agensi kerajaan yang lain.

Katanya, setakat ini, sebanyak 437 Communiti Behavior Impact (Combi) ditubuhkan di seluruh negeri.

“Selain pelbagai aktiviti pencegahan yang dilaksanakan, setakat ini 16 kali mesyuarat dijalankan di semua peringkat jabatan dan agensi bagi mengurangkan risiko pembiakan denggi di lokaliti,” katanya yang menjawab pertanyaan Lai Nyuk Lan (DAP-Sungai Pelek).

Selain itu, Daroyah memaklumkan kajian berhubung pembiakan nyamuk Toxo (Toxorhynchites) dalam mengurangkan populasi nyamuk Aedes masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya ekoran kajian keseluruhan masih dijalankan.

“Kajian bersama Universiti Sains Malaysia (USM) ini memperuntukkan sebanyak RM60,000 masih dalam penyelidikan dan tidak dapat dijalankan sepenuhnya di kawasan-kawasan lain.

“Kita tahu ia merupakan cara yang berkesan untuk mengurangkan populasi Aedes dan kita akan menggunakan langkah ini apabila kajian keseluruhan termasuk habibat nyamuk ini diselesaikan,” katanya.

Sehingga 5 April lalu, Selangor mencatatkan penurunan kes daftar denggi Jabatan Kesihatan Negeri dengan jumlah 624 kes yang dicatatkan pada minggu epid ke-14 tahun ini.

Sebelum ini, Selangor mencatatkan 1,429 kes pada minggu kelapan untuk tahun sama dan pada tahun 2013, 1,142 kes didaftarkan pada minggu ke-43 dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada Kerajaan Negeri.

Bersabit dengan angka terbabit, Kerajaan Negeri melalui Exco Kerajaan Tempatan sudah mengambil tindakan proaktif dengan mengadakan mesyuarat mingguan bersama Jabatan Kesihatan.

Secara keseluruan, Selangor mencatatkan 14,654 kes denggi dari 1 Januari sehingga 5 April lalu.

Untuk rekod, 25 kematian dicatatkan sehingga kini bagi tempoh empat bulan pertama dan jumlah itu mengatasi rekod tahun lalu dengan 23 kematian sepanjang tahun 2013.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.