Categories
NASIONAL

Mahkamah lepas CheguBard, Akta Perhimpunan Aman bercanggah Perlembagaan

SHAH ALAM, 29 APRIL: Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai ‘Chegubard’ dan dua lagi dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan menganjurkan perhimpunan pada malam ambang tahun baru sebagai membantah kenaikan harga barang serta cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Melissa Sasidaran berikutan keputusan Mahkamah Rayuan yang menyifatkan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 bercanggah dengan perlembagaan, pada 25 April lalu.

Memetik laporan Sinar Harian, selain Chegubard,36, dua aktivis lain adalah Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohamad Bukhairy Mohamed Sofian, 24, dan Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Nor Reduan, 33.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Dataran Merdeka, Jalan Raja, Kuala Lumpur antara jam 9 malam, pada 31 Disember 2013 hingga 1 pagi, 1 Januari lalu.

chegu bard -1Mengikut pertuduhan, mereka didakwa gagal memaklumkan Ketua Polis Dang Wangi 10 hari sebelum tarikh perhimpunan dan melanggar perintah mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000.

Pada 25 April lalu, Mahkamah Rayuan menggugurkan pertuduhan terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad kerana menganjurkan perhimpunan Black 505.

Dalam penghakimannya, mahkamah itu memutuskan bahawa polis boleh menguatkuasakan larangan terhadap perhimpunan seperti itu, namun bukan menghukum penganjur dengan mendakwa mereka apabila gagal memberi notis 10 hari sebelum tarikh perhimpunan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.