Oleh: Norhayati Umor
SHAH ALAM 11 APRIL : Belanjawan berimbang yang dibentangkan oleh Kerajaan Negeri sejak beberapa tahun ini merupakan langkah strategik berdasarkan hasil pendapatan tahunan.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata setiap minggu unjuran kewangan akan dipantau secara serius bagi memastikan setiap projek menggunakan dana rakyat dengan baik.
Katanya, strategi belanjawan negeri merupakan menganggarkan hasil dan sekiranya hasil berlebihan, maka kerajaan negeri akan mengusulkan belanjawan tambahan.
“Strategi belanjawan bagi Kerajaan Negeri ialah menganggarkan hasil jadi jika hasil itu lebih maka kita akan buat belanjawan tambahan.
“Ia kerana supaya Kerajaan Negeri mempunyai dana yang cukup dan tidak banyak berhutang kerana konsep berhutang tidak boleh dilakukan oleh Kerajaan Negeri jika tidak mendapat kelulusan Kerajaan Pusat atau bank.
” Oleh itu, kita mampu membuat unjuran kewangan dengan lebih baik kerana kita memantau keadaan semasa kewangan negeri secara mingguan,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan dalam Sidang Dewan Negeri, di sini.
Abdul Khalid berkata beliau melaksanakan belanjawan terbabit bagi mengimbangi rizab untuk dijaga dengan rapi secara berterusan.
“Jika kita lakukan belanjawan defisit dan kita pinjam dari kedua-dua (pusat dan bank) itu tidak seronok, sebab itu saya tingkatkan rizab negeri dari RM1 bilion kepada RM3 bilion sebab jika ada apa-apa berlaku kepada negeri sekurang-kurangnya kita ada dua tahun hasil itu.
“Namun, jika orang tanya, adakah perkara ini aneh? ianya tidak,” katanya.
Belanjawan negeri daripada 2008 hingga 2013 dibentangkan secara berimbang selaras dengan hasil pendapatan negeri.
“Kita mengambil kira perkara itu kerana Selangor mesti berbanja secukupnya hasil yang didapati.
“Contoh pada 2009, kita anggarkan ialah RM1.4 bilion tetapi kita dapati belanjawan perlu ditambah, oleh kerana hasil banyak iaitu RM1.76 bilion sebab itu saya tambah belanjawan lebih RM700 juta,” katanya.
Pada 2008, Kerajaan Negeri membuat belanjawan tambahan sebanyak RM828 juta, 2009 (RM700 juta), 2010 (RM597 juta), 2011 (RM620 juta), 2012 (RM667 juta) dan 2013 (RM712 juta).
“Pegawai kewangan negeri mesti menutup akaun setiap masa kerana negeri mempunyai disiplin untuk menjaga kewangan negeri dengan baik.
“Saya sudah membawa negeri ke satu tahap yang mempunyai tatacara pengurusan kewangan yang baik dan diiktiraf, sejak 2008 kita mendapat pengiktirafan empat bintang.
“Oleh itu, sudah tentu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bila berjumpa dengan kewangan negeri penuh disipilin, ia kerana kita tidak boleh memberikan sewenang-wenangnya peruntukan,” katanya.
EZY