Oleh : Lizawati Madfa
SHAH ALAM 15 APRIL : Kerajaan Negeri bersedia untuk memohon Dewan Negeri Selangor (DNS) mengadakan sidang khas bagi membentangkan penyelesaian isu air di Selangor sekiranya diperlukan berbuat demikian.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sesi penerangan perlu diadakan bagi memberi kefahaman kepada wakil rakyat berkenaan langkah diambil berhubung penyelesaian isu air.
Katanya, langkah itu juga bagi menunjukkan ketelusan Kerajaan Negeri membuat keputusan demi kepentingan rakyat tanpa sebarang motif politik.
“Usaha rundingan semula ini masih dalam perbincangan dan kita akan bentangkan kesan Langat 2, kesan harga ditawarkan selain terangkan bagaimana kes ini akan beri kebaikan kepada rakyat.
“Kita sedia bentang dalam dewan (negeri) sebab nak ketelusan dan wakil rakyat faham tentang cara-cara penyelesaian penyusunan semula.
“Saya harap dalam masa terdekat kita boleh lakukan dan jika perlu adakan sidang dewan khas untuk terangkan keputusan atau mendapatkan pandangan Dewan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Adun Taman Medan, Haniza Talha berhubung penyelesaian isu air yang turut melibatkan pelaksanaan Projek Langat 2.
Pada 26 Februari lepas, satu perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani Kerajaan Negeri dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) berhubung penyusunan semula industri air di Selangor.
Kedua-dua pihak kini dalam perbincangan bagi mengaplikasikan Seksyen 114 Akta Perkhidmatan Industri Air (WSIA 114) bagi membolehkan Kerajaan Negeri mengambil alih pengurusan daripada syarikat-syarikat konsesi.
Dengan penggunaan WSIA 114, Kerajaan Negeri dijangka dapat menjimatkan RM 2 billion berbanding tawaran dibuat sebelum ini yang berjumlah RM 9.65 billion kepada empat syarikat konsesi.
EZY