Oleh: AFIX REDZUAN
SHAH ALAM, 20 APRIL: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyarankan Kerajaan Negeri Sembilan mencontohi corak pentadbiran Kerajaan Selangor dengan memberikan air percuma 20 meter padu kepada rakyat.
Bercakap kepada pemberita di Telok Kemang semalam Abdul Khalid menegaskan, Kerajaan Selangor tetap dengan keputusan untuk tidak menerima tawaran penjualan air seperti yang ditawarkan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan.
Abdul Khalid menyifatkan, tawaran Mohamad sebagai kawan yang baik dan mesra ketika Selangor berhadapan krisis air.
“Memandangkan kita tidak mahu membeli air yang ditawarkan, saya cadangkan agar beliau memberi air secara percuma kepada rakyat negeri Sembilan.
“Ada yang menyelar tindakan saya itu, namun apa yang saya lakukan ini berasas,” katanya menerusi laporan akhbar Sinar harian.
Jelasnya lagi, tawaran dibuat terlalu sedikit berbanding dengan keperluan keseluruhan Selangor yang mana ia memerlukan sebanyak 100,000 juta gelen air sehari selain kos pengendalian urusan pembelian air sangat tinggi.
“Ia ibarat pemberian 10sen berbanding penggunaan sepatutnya RM1.
“Jadi adalah lebih baik kita mencari alternatif lain atau punca air lain dari Selangor demi kesejahteraan rakyat,” kata beliau selepas sesi Ramah Mesra Pemimpin PKR bersama masyarakat di Gerai Makan Batu 6 Telok Kemang.
EZY