Categories
SELANGOR

MB: Kerajaan tidak berhasrat haram bahan agama bukan Islam di hotel

Oleh : AFEEQA AFEERA

KLANG 25 APRIL : Kerajaan Selangor tidak berhasrat untuk mengharamkan bahan agama bukan Islam diletakkan dalam bilik hotel di negeri itu seperti dilaksanakan Pahang.

Kenyataan ringkas itu dinyatakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sidang media selepas Program Khas Mesra Rakyat Daerah Klang di Dewan Hamzah, di sini hari ini.

MB“Tidak, kami tidak pernah terfikir tentang perkara itu pun,” katanya.

Sebelum ini, Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MAIP) melarang pemilik hotel di negeri itu menempatkan bahan bacaan agama selain Islam di dalam bilik penginapan pelanggan mereka.

Timbalan Yang Dipertua MAIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, berkata surat tentang perkara itu diedar kepada 147 hotel di seluruh Pahang sejak 6 Mac lalu.

Surat larangan itu dikeluarkan mengikut peruntukan di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1989 bagi negeri Pahang selaras dengan perkara 11(4) Pelembagaan Persekutuan.

Maip mendakwa tindakan meletak bahan-bahan itu boleh dianggap sebagai perbuatan menyebarkan fahaman agama lain kepada orang Islam selaku sebahagian daripada pihak awam yang menginap di hotel terbabit.

Menurut laporan media, setakat ini pihak pengurusan hotel akur dengan larangan itu selain berjanji mengeluarkan bahan bacaan terbabit secepat mungkin.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.