Oleh: Lizawati Madfa
SHAH ALAM 15 APRIL : Kerajaan Negeri kini dalam perbincangan bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi membangunkan pembangunan Islamic City.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata rancangan pembangunan bandar yang berteras dan bercirikan Islam itu kini mempertimbangkan beberapa cadangan dan idea untuk dilaksanakan.
Katanya, segala cadangan dan hasil perbincangan itu juga akan dipersembahkan di hadapan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk mendapat nasihat Baginda Sultan.
“Antara cadangan adalah menjadikan fungsi masjid sebagai pusat ilmiah komuniti selain menjadikan kawasan berkenaan sebagai hub halal berskala kecil.
“Terdapat juga cadangan untuk menjalankan urusniaga seperti di bandar Madinah dan Makkah dengan penjualan emas berlaku, itu semua dalam perbincangan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Adun Kota Anggerik, Yaakob Sapari berkenaan rancangan pembangunan Islamic City di Shah Alam.
Mengulas lanjut, beliau berkata pembiayaan pembangunan Islamic City juga menggunakan konsep wakaf selain dibiayai bank dan juga institusi kewangan.
“Salah satu keupayaan konsep pembangunan bandar ini ialah menterjemahkan konsep wakaf sementara bank dan institusi kewangan akan membina prasarana di sana.
“Semuanya dalam perbincangan dan melibatkan beberapa perkara mengenai sistem trafik termasuk mengambil kira pembangunan MRT (Transit Aliran Ringan) dan LRT yang lalu di kawasan itu.
“Perkara ini makan masa panjang, tiga hingga lima tahun baru dapat hasilkan satu rancangan lengkap,” katanya lagi.
EZY