Categories
SELANGOR

MB: Peruntukkan RM10 juta, bina infra untuk pam air ke Sg Selangor

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 APR: Kerajaan Negeri menjangkakan program catuan air dapat ditamatkan lebih awal sekiranya kerja mengepam air dari dari bekas lombong sekitar Lembangan Sungai Selangor ke Sungai Selangor berjaya menambah kapasiti air sehingga 42 hingga 43 peratus.

Ini berikutan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor hari ini yang meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi membina infrastruktur bagi kerja-kerja mengepam air untuk tujuan tersebut.

MBMenteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata peruntukan ini termasuk bagi membiayai pembelian 10 pam berkeupayaan tinggi untuk memastikan kerja pengepaman ini memberi kesan maksima dalam meningkatkan paras air Sungai Selangor.

“Dulu kita berpendapat mesti naik sehingga 50 peratus baru catuan boleh dilepaskan tetapi sekarang oleh kerana kita mempuyai sumber bukan sahaja dari empangan, kalau naik dari 39 peratus hingga 42 atau 43 peratus kita boleh hentikan catuan air.

“Kapasiti pam mampu mengepam air 50 juta liter sehari. Setiap saat ada pengiraannya dan akan beroperasi selama 10 jam sehari,” kata Abdul Khalid sejurus selesai Mesyuarat Exco Kerajaan Selangor di sini, hari ini.

Katanya lagi, air akan dipam daripada sembilan buah lombong simpanan di sekitar Sungai Selangor.

“Lombong-lombong ini dahulunya bekas lombong timah tetapi sudah lebih 20 tahun tak beroperasi. Memang Kerajaan Negeri simpan lombong ini,” tambah beliau lagi.

Kata Abdul Khalid, kerja-kerja mengepam yang bermula sejak tiga hari lalu itu dikendalikan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Selangor di bawah pemantauan Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

4Infrastruktur serta pam ini juga boleh digunakan bagi mengepam air Sungai Selangor ke kolam takungan apabila paras air mencapai paras normal sebagai persediaan menghadapi musim kering yang diramal berlaku antara akhir Mei sehingga September tahun ini.

Kata Abdul Khalid lagi, Kerajaan Negeri akan mengadakan sidang media setiap dua hari untuk memaklumkan perkembangan semasa bekalan air mentah bermula Jumaat ini.

EmpanganSementara itu, bacaan paras air di Empangan Sungai Selangor pada jam 8.00 pagi tadi masih menunjukkan berada di bawah paras kritikal iaitu 38.97 peratus dengan jumlah takungan 89.63 juta liter padu air.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.