Categories
SELANGOR

Mesyuarat Exco lulus pembayaran 2 lukisan A Samad Said

SHAH ALAM 2 APRIL: Mesyuarat Exco Kerajaan Selangor meluluskan pembayaran penuh dua buah lukisan sasterawan negara Datuk A Samad Said yang didakwa belum dibayar sebelum ini.

Exco Selangor, Rodziah Ismail berkata, apa yang berlaku adalah ekoran salah faham kerana beliau yang ketika itu memegang portfolio kebudayaan negeri, tidak mengetahui yang lukisan tersebut perlu dibayar berasingan.

Rodziah berkata dua lukisan tersebut telahpun diserahkan kepada jabatan Muzium Negeri di bawah pengurusan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selanngor (Padat).

“Mesyuarat exco negeri hari ini telahpun meluluskan pembayaran penuh kepada Pak Samad secepat mungkin selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Exco negeri di Shah Alam hari ini dipetik Malaysiakini.

Sebelum ini, Datuk A Samad Said mengakui dua lukisannya belum dibayar seorang exco Kerajaan Selangor tetapi meminta hal itu tidak dikaitkan dengan Menteri Besar mahupun pentadbirannya.

Beliau membuat kenyataan itu bagi membetulkan pendedahan yang dibuat Uthaya Sangkar SB yang menerajui Kavyan, sebuah organisasi sastera, seni dan budaya pada pelancaran novel Sungai Mengalir Lesu , malam tadi.

Beliau berkata, exco itu berjanji bayaran itu akan ‘diurus’ tetapi mengakui sehingga kini ia belum berbayar tetapi Pak Samad tidak pernah mengungkitnya, malah tidak mendedahkan identiti exco berkenaan.

Pak Samad juga menyifatkan Kerajaan Selangor sebagai pemurah kerana memberikanya anugerah, malah berkali-kali menyatakan kasih sayangnya kepada Pakatan Rakyat dan menyampah dengan Barisan Nasional.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.