Oleh: Lizawati Madfa
SHAH ALAM 25 APRIL : Hasil operasi pembenihan awan dan hujan semulajadi, bacaan takungan Sungai Selangor mula mencatatkan peningkatan sebanyak 1.18 peratus berbanding kadar takungan pada minggu lepas.
Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, peningkatan kecil itu disebabkan kadar hujan yang diterima di sekitar hilir kawasan tadahan serta di bandar-bandar, dan bukan di empangan.
Bagaimanapun, katanya, kadar hujan di hilir membantu pengurangan kadar pelepasan air empangan ekoran paras air sungai mencukupi untuk keperluan loji pembersihan air (LPA).
“Justeru, kelonggaran catuan air boleh dilakukan apabila aliran air sungai tinggi, LPA boleh mengambil air sungai untuk dirawat dan disalurkan kepada pengguna.
“Namun jika aliran air sungai rendah, kita perlu lepaskan air empangan untuk diambil dan dirawat LPA.
“Kita perlu mengoptimumkan penggunaan sumber air sedia ada bagi memanjangkan hayat takungan empangan,” katanya dalam satu sidang media khas air di Bangunan SUK hari ini.
Turut serta dalam sidang media itu ialah Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Mohamad Roslan Sakiman dan Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Md Khairi Selamat.
Sementara mengulas cadangan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) untuk mengepam air daripada hilir ke empangan, Md Khairi berkata cadangan itu sukar dilaksanakan.
“Pertama melibatkan kos dan kedua infrastruktur yang ada juga tidak dibuat untuk tujuan sebegitu.
“Keadaan hilir di Bestari Jaya adalah juga sangat rendah berbanding kawasan empangan Sungai Selangor di kawasan tinggi di Kuala Kubu Baru.
“Sebab itu kita menyimpan di kawasan kolam-kolam bekas lombong, berbanding mengepam air ke empangan,” katanya.
Pada 19 April lepas, takungan Sungai Selangor mencatatkan 38.53 peratus bersamaan 88.62 juta meter padu manakala hari ini paras takungan meningkat kepada 39.71 peratus bersamaan 91.33 juta meter padu.
Empangan Sungai Selangor merupakan empangan terbesar dengan kapasiti maksimum 235 juta meter padu dan membekalkan sekitar 60 peratus keperluan air di Selangor dan Kuala Lumpur.
EZY