Oleh: Lizawati Madfa
SHAH ALAM 10 APR : Dua ahli parlimen Pakatan Rakyat (PR), Azmin Ali (PKR) dan Mohamed Hanipa Maidin (PAS) diperintah keluar dewan oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika sidang Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Gombak, Azmin terlebih dahulu diperintah keluar dewan selepas berulang kali meminta penjelasan Pandikar Amin mengapa usul mencela tiga Hakim Mahkamah Rayuan dalam kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak disegerakan untuk dibahas.
Memetik laporan Malaysian Insider, Azmin dihalau setelah cuba mempertahankan hujahnya untuk membangkitkan usul perilaku hakim yang diletakkan sebagai perkara terakhir dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini.
“Saya minta penjelasan mengapa usul penting dan menepati perlembagaan untuk membincangkan perilaku hakim ditolak sewenang-wenangnya.
“Usul kerajaan setakat nombor enam. Kenapa tak letak usul saya di nombor tujuh,” katanya dalam sidang media di lobi parlimen pagi tadi.
Azmin berkata, Speaker memberikan alasan tidak kukuh apabila menyatakan usul daripada pihak kerajaan perlu diberi perhatian berbanding usul yang dibawa secara persendirian.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sepang, Hanipa pula diperintah keluar dewan setelah Pandikar Amin menyangka beliau mahu mempertahankan Azmin dan usul yang dibawanya.
Memetik laporan Harakah Daily, Hanipa memberitahu beliau ketika itu sebenarnya mahu membangkitkan peraturan mesyuarat 22(1) berhubung isu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
“Saya mahu membawa usul 22(1) yang mengundang persoalan penting namun baru nak menyebutnya sudah dihalau keluar dari Dewan.
“Ini adalah salah laku Yang Dipertua kerana apabila seseorang ahli parlimen itu bangun, Yang Dipertua perlu menghentikan urusan lain dan benarkan aturan mesyuarat,” katanya.
EZY