Oleh: LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 18 APRIL: Sidang Parlimen disaran membuang rasa takut dalam membawa isu berkepentingan umum untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.
Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh, berkata Parlimen harus bersikap lebih berani sepertim DNS yang membenarkan pembangkang membawa usul untuk dibahaskan secara terbuka.
Katanya, perbahasan secara terbuka di dewan persidangan tidak harus dielak dengan kematangan wakil rakyat dan rakyat pada hari ini..
“Saya benarkan perbahasan (usul pembangkang) dijalankan kerana mahu semua nampak kalau ada isu, kita tidak perlu takut menghadapinya dan boleh bahaskan.
“Ini adalah kali pertama kita benarkan usul pihak pembangkang (Selangor) dan saya harap Parlimen dapat membincangkan isu panas dan penting tanpa rasa takut.
“Kita semua sudah matang, rakyat matang, wakil rakyat juga matang, Jadi tiada apa perlu ditakutkan untuk berbahas,” katanya dalam satu sidang media di lobi DNS, di sini, hari ini.
Semalam, pihak pembangkang membentangkan dua usul yang dibawa Ketua Pembangkang, Datuk Shamsudin Lias dan Budiman Mohd Zohdi (Sungai Panjang), namun tidak dipersetujui selepas dibahas.
Shamsudin membawa usul menggesa Kerajaan Negeri menghentikan catuan air di Selangor dan kawasan sekitarnya sementara Budiman pula membawa usul menggesa mengambil satu pendirian terhadap tindakan Gabungan NGO Malaysia- Coalition of Malaysian NGOs (COMANGO).
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam responnya semalam berkata, Kerajaan Negeri tidak boleh menarik balik arahan catuan bekalan air buat masa ini kerana paras air mentah di beberapa buah empangan masih rendah.
Kata Abdul Khalid, jika program catuan dihentikan serta merta, paras air empangan akan turun dengan lebih cepat menyebabkan hayat bekalan air semakin pendek dan tidak bertahan lama.
Sementara itu, usul Comango pula ditolak kerana tidak berkenaan dengan bidang kuasa DNS dalam membuat sesuatu ketetapan terhadap sesebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kerajaan Negeri tidak perlu menyatakan sebarang pendirian kerana tidak berkenaan, jika di mahkamah (usul) ini ditolak dengan dikenakan kos,” kata Exco Kanan, Datuk Teng Chang Khim mewakili Menteri Besar.
-NFN-