Oleh: AFEEQA AFEERA
SHAH ALAM, 10 APRIL: Sejumlah RM53.9 juta berjaya dijimatkan dalam tempoh setahun selepas perkhidmatan pembersihan awam (pengurusan sampah) di Selangor diambil alih sepenuhnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pada Ogos 2011.
Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim, berkata kos pengurusan sampah domestik dan sampah pukal ketika diuruskan Alam Flora Sdn Bhd adalah RM220.7 juta, manakala selepas diambil alih PBT kosnya RM166.8 juta.
Katanya, tindakan menyerahkan pengurusan sisa pepejal kepada PBT adalah langkah terbaik kerana bukan sahaja berjaya menjimatkan kos, tetapi Kerajaan Negeri juga dapat memastikan tidak lagi berlaku sebarang perkara membabitkan amalan rasuah.
“Memang pada mulanya ada masalah kerana kontraktor kita belum lagi dapat menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran, tetapi ia tidak serius sehingga semua kerja tidak dibuat.
“Kita juga akan cuba memperbaiki kelemahan yang ada daripada masa ke masa termasuk bercadang mengenakan cagaran 10 atau 20 peratus sebelum kontraktor memasuki tender bagi memastikan mereka mampu melakukan kerja pembersihan lebih terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ng Tien Chee (DAP-Balakong) dan Gan Pei Nei (PKR-Rawang) berhubung pengurusan sampah di Selangor setakat ini pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.
Pada masa sama, Teng turut memaklumkan Kerajaan Negeri kini dalam proses untuk melantik perunding bebas bagi menjalankan pemantauan setiap enam bulan di semua PBT.
Katanya, pemantauan berkenaan tidak hanya tertumpu kepada aspek kebersihan dan pengurusan sampah sahaja,tetapi turut merangkumi prestasi Datuk Bandar dan Yang Dipertua bagi setiap PBT berkenaan.
“Kita ingin melantik perunding bebas ini supaya setiap enam bulan ada laporan daripada PBT untuk dibentangkan kepada rakyat. Kita tidak akan tuding jari sesuka hati tanpa buat penelitian dan semakan terlebih dahulu,” katanya.
-NFN-