Categories
NASIONAL

Peguam: Mahkamah tolak masa rayuan kes Anwar, tak simpati kematian Karpal

SHAH ALAM 23 APRL : Permohonan untuk lanjutan masa bagi memfailkan rayuan terhadap sabit kesalahan fitnah 2 Datuk Seri Anwar Ibrahim ditolak mahkamah, kata Ketua Biro Undang-Undang PKR, Latheefa Koya.

Beliau berkata, Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan sebaliknya meminta Anwar untuk memfailkan permohonan formal, termasuk notis usul, bagi meminta lanjutan masa bagi memfailkan alasan rayuan.

Latheefa_Koya“Ini berlaku meskipun mereka tahu esok merupakan hari terakhir untuk memfailkan petisyen itu,” katanya yang memetik laporan Malaysian Insider.

Latheefa berkata beliau diberitahu tentang hal ini daripada seorang peguam daripada firma guaman mendiang Karpal Singh yang terbunuh dalam kemalangan di lebuh raya pagi Khamis lepas.

Karpal merupakan peguam utama yang mewakili Anwar di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dalam tuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

“Ia dianggap sangat tidak bertimbang rasa dan tidak simpati ke atas kematian Karpal.

“Nampaknya Mahkamah Persekutuan nekad untuk mempercepatkan rayuan, dan ini dapat dilihat dalam keengganan mereka untuk memberi lebih masa kepada Anwar,” katanya.

Semalam, Ramkarpal Singh yang terlibat bersama Karpal dalam kes liwat itu berkata beliau sudah menulis kepada Mahkamah Persekutuan untuk meminta lanjutan masa bagi memfailkan rayuan untuk kes itu.

“Beliau berharap untuk mendapat jawapan hari ini tentang sama ada mahkamah akan mengizinkan masa dua minggu untuk memfailkan alasan rayuan,” katanya.

Mahkamah Rayuan menghantar alasan rayuan kepada firma guaman Karpal pada 16 April, yang memberikan mereka masa 10 hari.

Leave a Reply

Your email address will not be published.