SHAH ALAM, 16 APRIL: Hujan renyai tidak menghalang kira-kira 2,000 penduduk sekitar Kuala Selangor dan Sabak Bernam hadir ke Himpunan Reformasi 2.0 di Stadium Mini Sabak Bernam, baru-baru ini.
Himpunan berkenaan jatuh pada ulang tahun ke-15 ,Black 14′ yang dinamakan sempena tanggal 14 April 1999 apabila mahkamah memutuskan hukuman penjara enam tahun ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan rasuah.
Memetik Keadilan Daily, peristiwa itu menjadi detik penting bagi pendokong reformasi yang juga satu tarikh keramat bagi memperingati peristiwa hitam dalam sejarah sistem kehakiman negara dan Reformasi 2.0 pula adalah kesinambungan daripada semangat perjuangan Black 14.
Kesungguhan masyarakat sekitar Sabak Bernam untuk mengikuti penjelasan sebenar berkenaan Fitnah II jelas terserlah apabila mereka tidak berganjak walaupun terpaksa duduk di padang yang basah dan bertambah meriah dengan jualan pelbagai cenderamata seperti kemeja T dan buku Reformasi 2.0.
Kehadiran Anwar mencuri perhatian apabila sempat menikmati secawan minumam panas sambil bermesra dengan penduduk sebelum bersama pemimpin lain di pentas utama, bahkan anak muda kelihatan cukup bersemangat dan tidak melepaskan peluang bersalaman serta mengambil gambar bersama ikon reformasi berkenaan.
Selain Anwar, himpunan berkenaan turut disertai Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabak Bernam, Dr Badrul Amin Baharom; Pengerusi Biro Kepenggunaan PKR, Yahya Shari; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Ronnie Liu.