Oleh: Lizawati Madfa
SHAH ALAM, 14 APRIL: Sebahagian besar gaji dan elaun Menteri Besar, Exco, Speaker dan Timbalan Speaker akan disalurkan kepada Tabung Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid, berkata langkah pemotongan itu dibuat selaras dengan keputusan yang dicapai melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
“Gaji lama Menteri Besar RM14,175.15, gaji baru RM29,250 membabitkan pemotongan RM15,074.85 dan gaji selepas dikemaskini adalah RM14, 175.15.
“Gaji lama anggota Exco RM6,109.29, gaji baru 20,250, pemotongan RM5,250 dan gaji selepas dikemaskini RM15, 000. Gaji lama Speaker RM6,109.29, gaji baru RM 22,500, pemotongan RM7,500, gaji dikemaskini RM 5, 000.
“Gaji lama Timbalan Speaker RM3,327.50, gaji baru RM15,750, pemotongan RM3,750 dan gaji dikemaskini RM12,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.
Walaubagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tetap menerima penuh gaji baru RM11,250 tanpa sebarang pemotongan selepas dinaikkan daripada gaji lama RM6,000.
Pada November lalu, persidangan DNS meluluskan kenaikan gaji semua 56 ADUN berkuatkuasa 1 Januari lalu, dengan Timbalan Speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi 373.3 peratus.
Rang undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 juga memperuntukkan kenaikan gaji Menteri Besar, Speaker DUN dan barisan Exco.
-NFN-