Categories
SELANGOR

Tapak pelupusan sanitari selesai masalah penduduk Semenyih

Oleh : AFEEQA AFEERA

HULU LANGAT, 30 APRIL: Kerajaan Negeri memberi jaminan pembinaan tapak pelupusan sanitari yang akan dibina tidak lama lagi di Kampung Pasir Baru, Semenyih menghala ke Sungai Tekala, dekat sini, tidak menggugat keselesaan penduduk di kawasan itu.

Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata tapak seluas 50 ekar khusus untuk sampah pukal itu dapat menyelesaikan masalah bau busuk dan pencemaran alam sekitar yang ditanggung penduduk ekoran lori sampah didakwa menggunakan jalan di kampung berkenaan.

Katanya, Kerajaan Negeri kini giat menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk setempat termasuk mengadakan perbincangan hampir setiap minggu berhubung isu terbabit.

Yunus-Hairi“Buat masa ini, kita putuskan untuk menggunakan Sungai Kembung dan Tanjung 12 sebagai tapak pembuangan sampah sebelum dibangunkan tapak pelupusan sanitari oleh pihak Worldwide Holding Berhad.

“Tapak itu juga khusus untuk kompaktor sahaja, manakala lori sampah (open tipper) tidak dibenarkan masuk ke situ,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di kawasan tanah runtuh di Jalan Sungai Lalang, di sini.

Dilaporkan, lokasi tapak pelupusan sampah berkenaan terletak sejauh lapan kilometer dari Pusat Perolehan Semula Sumber Sisa Pepejal Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Kampung Pasir Baru yang juga dikenali sebagai Refused Derived Fuel (RDF).

RDF itu wujud sejak 2004 dan tidak mampu beroperasi untuk menampung dan mengeluarkan sampah lebihan sejumlah 50,000 tan, sejak Mei tahun lalu.

Namun, sudah diberi amaran oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya menamatkan operasi atas beberapa faktor termasuk mengakibatkan pencemaran.

Dr Yunus sampahBagaimanapun, ia menyebabkan kesulitan kepada MPKj kerana terpaksa menguruskan 500 tan sampah sehari berikutan penduduk di kawasan MPKj berjumlah 780,000.

Pada 7 April lalu, RDF tidak dapat menerima sampah daripada MPKj dan operasi berkenaan tidak dapat menampungnya lagi ekoran masalah teknikal.

Sebagai langkah kecemasan, lokasi pembuangan ditukarkan ke tapak pelupusan di Sungai Kembong lebih kurang tiga kilometer daripada RDF.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.