Oleh: Lizawati Madfa
SHAH ALAM 22 APRIL : Universiti Selangor (Unisel) melangkah setapak lagi ke hadapan dalam usaha memasyarakatkan ilmu dengan penerbitan tiga jurnal meliputi pelbagai kluster pendidikan.
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Unisel, Dr Halimah Ali berkata, penerbitan jurnal dapat memberi ruang kepada warga institut pengajian tinggi berkongsi hasil penyelidikan.
Katanya, pihak pengurusan Unisel juga wajar memasarkan serta mengedarkan jurnal yang diterbitkan ke peringkat antarabangsa bagi mendapat pengiktirafan.
“Kerajaan Negeri menyokong usaha sebegini melalui penyaluran dana dan geran pendidikan bagi menghasilkan penerbitan akademik.
“Hasil penyelidikan perlu dikongsi dan disebarkan untuk pembangunan ilmu dan negara,” katanya membacakan teks ucapan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Dr Halimah hadir mewakili Abdul Khalid bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Jurnal di Dewan Pro Canselor, Unisel di sini.
Unisel menerbitkan tiga jurnal iaitu Jurnal Sciences and Technology, Jurnal Contemporary Business Management dan Jurnal Social Science and Humanities yang boleh didapati secara bercetak mahupun atas talian.
Terdahulu, Dr Halimah turut merasmikan Pusat Fisioterapi dan Makmal Klinikal Diagnostik Unisel yang turut dihadiri Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr. Daroyah Alwi dan Canselor Unisel, Prof. Anuar Ahmad.
Dengan perasmian pusat berkenaan, Unisel kini mampu bersaing dalam industri kospus sains kesihatan yang kini semakin mendapat permintaan yang tinggi.
“Diharap usaha Unisel ini dapat menyahut cabaran bagi melahirkan graduan yang berdaya saing, memenuhi pasaran dan insan kamil.
“Moga perkhidmatan disediakan dapat memberi manfaat kepada warga Unisel selain memberi impak sekitar Lembah Klang,” katanya lagi.
Abdul Khalid tidak dapat menghadiri majlis pada saat akhir kerana perlu menghadiri mesyuarat penting bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr.Maximus Johnity Ongkili berhubung perjanjian persefahaman (MoU) air di Selangor.
EZY