Categories
SELANGOR

1,000 peserta sertai Walk-a-Payung sokong pesakit SLE

Oleh: AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA 19 MEI : Kira-kira 1000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam Program Walk-a-Payung sebagai tanda sokongan kepada pesakit Systemic Lupus Erythematoses (SLE) sempena sambutan Hari Lupus Sedunia.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi Dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi, berkata program disertai ahli keluarga, rakan dan sukarelawan itu memerlukan mereka berkumpul beramai-ramai dengan memakai baju ungu dan berpayung bagi memberi semangat kepada pengidap SLE.

20140518_091724Beliau berkata meskipun penyakit berkenaan kurang dikenali masyarakat berbanding penyakit kronik lain di Malaysia, namun potensinya mampu menjadi serius sekiranya penghidap tidak berjaya mendapatkan rawatan awal.

“Kita berjalan kaki sejauh kira-kira dua kilometer sambil berpayung sebagai memberi gambaran kepada masyarakat umum tentang masalah “photosensitivity” di kalangan pesakit SLE.

“Kita juga menjelaskan kepada umum tentang sensitiviti kulit pengidap SLE ini jika terdedah dengan pancaran UV dari cahaya matahari,” katanya semasa merasmikan program tersebut di Taman Tasik Jaya, Petaling Jaya.

SLE atau Lupus adalah salah satu gangguan sistem imun di mana sistem imun itu sendiri melawan bahagian-bahagian tubuh yang sepatutnya dilindungi.

Ia melibatkan banyak bahagian tubuh seperti sendi, kulit, buah pinggang, jantung, paru-paru, saluran darah dan otak.

Daroyah berkata program anjuran Persatuan SLE Malaysia itu seharusnya diberi pujian kerana ia bertujuan memberi kesedaran awal kepada masyarakat.

“Kewujudan kita sebagai kumpulan sokongan ini adalah penting untuk kita sama-sama cuba berkongsi rasa akan kesensaraan mereka yang mengidap,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.