Categories
NASIONAL

Pentadbiran Najib lemah hingga ADUN boleh ‘ugut’ keluar parti

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 15 MEI : Budaya keluar masuk semula ke dalam parti seperti yang dilakukan tiga pemimpin Umno Terengganu jelas membuktikan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berada dalam keadaan lemah sehingga boleh diugut ahlinya sendiri.

Pengerusi Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Azan Ismail, berkata budaya tidak sihat yang kian menular di kalangan ahli Umno bertentangan dengan asas pentadbiran politik yang diamalkan di negara ini.

Katanya, tindakan menjadikan diri-sendiri sebagai ‘tebusan’ dengan keluar daripada Barisan Nasional (BN) kemudian mengugut untuk mendapat ‘habuan’ supaya menyertai semula parti dianggap sebagai trend yang sangat buruk dan hina daripada segi nilai serta moral politik.

Azan Ismail“Kalau rasa ingin lompat, lompat dan kalau ingin masuk balik, masuk. Perkara ini membuktikan pentadbiran Najib berada dalam keadaan yang sangat lemah kerana boleh diugut ahli sendiri.

“Keluar masuk (parti) memang perangai yang sangat tidak menghormati Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, mereka menggunakannya untuk tujuan peribadi seperti tidak berpendidikan untuk memahami erti demokrasi berpelembagaan, berparlimen dan DUN,” katanya yang juga ADUN Bandar kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Azan berkata, tindakan ‘u-turn’ yang dilakukan trio Umno (Ahmad Said, Ghazali Taib dan Roslee Daud) adalah sesuatu yang dijangka kerana melalui cara itu mereka dapat memenuhi agenda masing-masing.

NEWSBeliau menegaskan, perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana tindakan berkenaan tidak mendatangkan sebarang kebaikan, bahkan menggugat kelancaran pentadbiran di Terengganu.

Beliau turut percaya taktik sama kemungkinan akan digunakan di negeri yang mempunyai kedudukan ‘genting’ seperti Perak untuk tujuan mendapatkan habuan.

“Menjadikan kedudukan dalam dewan untuk mengugut dan mengambil pampasan seperti menjadi tebusan dalam politik supaya rakyat jadi gempar, susah hati dan pentadbiran tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

“Ini budaya baru Umno merompak wang rakyat iaitu dengan menjadikan diri tebusan dan meminta pampasan ibarat seperti duduk dalam rumah kemudian ambil anak sendiri dan ancam untuk membunuhnya dengan tujuan dapat pampasan daripada ketua keluarga,” katanya.

Terdahulu, Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menarik balik surat peletakan jawatannya daripada Umno selepas Perdana Menteri memohon maaf kepada beliau.

Datuk-Seri-Ahmad-SaidAhmad berkata kepada pemberita di kediamannya di Kemaman, tindakan itu berpunca daripada salah faham berhubung tarikh perkahwinan anak perempuannya yang akan berlangsung, 17 Mei ini.

Ketika sidang media itu, Ahmad turut berkata, semua ADUN yang meletak jawatan turut melakukan tindakan sama.

Dengan tindakan Ahmad, krisis politik yang berlaku di Terengganu kini selesai apabila jumlah kerusi BN kekal majoriti di dalam DUN iaitu memiliki 17 kerusi DUN diikuti PAS 14 kerusi dan PKR satu kerusi.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.