Categories
KENYATAAN MEDIA

PRK Teluk Intan: Manifesto Pemerkasaan Rakyat- Dyana Sofya

Manifesto Pemerkasaan Rakyat Teluk Intan

Sebelum memulakan kempen PRK Teluk Intan, kami telah menjalankan sebuah kajian tinjauan bebas. Hasil tinjauan tersebut menunjukkan bahawa hampir 60 peratus penduduk Teluk Intan mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan, iaitu angka yang jauh lebih rendah daripada purata min (mean average) kebangsaan yang berada pada tahap RM4,025.

Rajah 1: Pendapatan isi rumah rakyat Teluk Intan

 kos

Kos sara hidup

Justeru, masalah “barang naik” adalah perkara yang mempunyai kesan yang amat besar kepada rakyat tempatan. Dasar BN untuk mengurangkan subsidi kepada rakyat telah mengakibatkan kenaikan harga gula, petrol dan tarif elektrik. Kesan daripada dasar BN yang tidak menitikberatkan kebajikan rakyat, kos operasi, pengangkutan dan makanan juga turut meningkat dan ini membawa beban yang besar, khususnya kepada masyarakat berpendapatan rendah.

isu penting

Rajah 2: Isu-isu penting bagi rakyat Teluk Intan

Tambahan pula, cukai GST yang bakal dilaksanakan pada tahun depan sudah tentu akan menambahkan penderitaan rakyat Teluk Intan kerana cukai tersebut akan dikenakan secara meluas ke atas hampir semua barangan dan perkhidmatan.

 

gst

Rajah 3: Kadar penerimaan GST oleh rakyat Teluk Intan

 

Oleh itu, sekiranya berjaya dipilih, saya akan melawan dasar kerajaan yang membebankan rakyat, yakni cukai GST yang sangat tidak adil. Pada masa yang sama, sebagai seorang Ahli Parlimen, saya akan senantiasa memastikan belanjawan negara diurus secara berhemah.

Tadbir Urus Bersih

Setiap tahun, rakyat disaji dengan pelbagai kes penyelewengan, ketirisan dan salah urus yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara. Tambahan pada itu, skandal-skandal seperti NFC, Port Klang Free Zone dan pelbagai lagi yang membabitkan berbilion-bilion duit rakyat masih tidak diselesaikan.

Jelas, sementara kroni-kroni BN mendapat kontrak demi kontrak dan projek demi projek, kepentingan rakyat terus digadai.Menurut kajian yang dibuat, isu rasuah juga merupakan kebimbangan besar rakyat Teluk Intan.

Maka, jika dipilih, saya akan berusaha untuk melawan rasuah, salah guna kuasa serta pembaziran kewangan negara. Saya juga akan memperjuangkan tadbir urus yang baik, bersih dan telus, sepertimana yang dilakukan oleh kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Pembangunan Anak Muda

Satu isu yang penting, bukan sahaja kepada saya sebagai seorang anak muda, tetapi juga kepada negara Malaysia secara keseluruhan, adalah isu pembangunan anak muda. Mengikut statistik Jabatan Perangkaan, lebih 70 peratus rakyat Malaysia berusia kurang daripada 40 tahun. Ini bermaksud bahawa Malaysia adalah negara yang muda dari segi usia populasi.

Di Teluk Intan, saya telah perhatikan bahawa kebanyakan anak muda terpaksa mencari rezeki di negeri lain, seperti Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang. Malah ada yang berhijrah ke Singapura. Hal ini berlaku akibat dasar kerajaan yang memusatkan pembangunan di Lembah Klang dan kawasan lain.

 

isu pembangunan

Rajah 4: Peratusan rakyat Teluk Intan yang berasa pembangunan terlalu berpusat di sekitar Lembah Klang.

 

Oleh itu, jika dipilih, saya akan melawan pemusatan pembangunan yang tertumpu di sekitar Kuala Lumpur agar pekan-pekan seperti Teluk Intan boleh dimajukan. Pada masa yang sama, saya akan mempergiatkan aktiviti sihat bagi anak muda.

Saya juga akan menuntut pembinaan infrastruktur kesukanan bagi anak muda serta bertemu dengan para pemilik perniagaan dan pengusaha untuk membincangkan kaedah untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih bermakna.

Pemerkasaan Wanita

Sebagai seorang wanita profesional, saya juga ingin memperjuangkan isu wanita. Di Malaysia, kadar penyertaan tenaga kerja wanita hanya berada di paras 52 peratus. Ini adalah angka yang rendah di rantau Asia Tenggara dan bermaksud bahawa separuh jumlah keluarga di Malaysia mempunyai hanya satu sumber pendapatan.

Sudah tentu, pendapatan isi rumah setiap keluarga di Teluk Intan boleh ditingkatkan sekiranya wanita diberi peluang untuk bekerja. Pada masa yang sama, ramai wanita tidak dapat bekerja akibat kekurangan perkhidmatan penjagaan anak yang mampu atau pekerjaan yang boleh dilakukan dari rumah.

Justeru, saya akan memperjuangkan perwakilan wanita sebanyak 30 peratus di Parlimen serta jawatan utama dalam sektor swasta dan kerajaan. Saya juga akan menuntut agar Caruman Sosial Wanita dilaksanakan sepertimana yang dinyatakan oleh Pakatan Rakyat, di mana setiap isteri akan berhak untuk dilindungi oleh skim kebajikan ini.

Tambahan kepada itu, saya juga akan mendesak kerajaan untuk memberi insentif bagi penubuhan prasarana penjagaan anak, sepertimana yang dilakukan oleh Kerajaan Selangor.

Politik baru

Selain daripada isu-isu di atas, tujuan saya bertanding di Teluk Intan dengan mewakili DAP adalah untuk memecahkan benteng perkauman yang sekian lama membelenggui rakyat Malaysia.

Oleh itu, saya mewakili generasi muda untuk membawa satu politik baru buat masa hadapan negara. Politik baru ini adalah politik yang tidak berasaskan perkauman, dan tidak bersifat jumud. Sebaliknya, politik baru adalah politik yang berasaskan dasar dan polisi yang dapat membawa pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat.

Sekiranya diberi mandat, saya juga akan menetap di Teluk Intan dan menggunakan amanat sebagai duta pekan yang indah ini untuk menarik perhatian Parlimen kepada isu-isu di atas serta pelbagai lagi isu yang penting buat rakyat Teluk Intan.

 

Dyana Sofya Mohd Daud

Calon DAP PRK Teluk Intan

Leave a Reply

Your email address will not be published.