Categories
NASIONAL

SPRM patut siasat skandal pinjaman RM40 juta

SHAH ALAM 27 MEI: Pakatan Rakyat menggesa Suruhanjaya Pencegahanan Rasuah Malaysia (SPRM) campur tangan dan membuat siasatan skandal pinjaman RM40 juta Bank Rakyat seperti didedahkan bekas pengerusi bank itu, Tan Sri Sabbaruddin Chik.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata SPRM tidak boleh berdiam diri dalam isu tersebut kerana ia membabitkan kepentingan awam.

logo SPRM“Bagaimana Datuk Seri Hasan Malek selaku Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan boleh membuat keputusan menyelesaikan hutang RM32 juta tanpa kiraan faedah.

“Kita ingin tahu atas arahan siapa ia dilakukan, adakah bertujuan untuk menutup mulut individu yang mempunyai maklumat skandal pemimpin negara,” katanya dipetik Harakah Daily.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar tidak berdiam diri dan tampil membuat penjelasan.

“Selaku Menteri Kewangan, Najib kena jelaskan keputusan yang telah dibuat bagaimana pinjaman mudah diberikan RM40 juta hutang tanpa bayaran faedah.

“Malah penyelesaian hutang tertunggak juga melalui kaedah 120 cek tunda untuk ditunaikan oleh pihak bank dalam jangka masa 10 tahun, ia suatu yang mustahil berlaku tanpa arahan orang yang mempunyai kuasa,” kata beliau dipetik Harakah Daily.

Naib Presiden PKR , N Surendran berkata, tuduhan itu amat serius dan SPRM perlu menyiasat Hasan Malek sekiranya melakukan salahguna kuasa.

Katanya, Najib Razak tidak boleh berdiam diri memandangkan individu berkenaan turut dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan.

“Ini tuduhan yang besar, Najib tak boleh berdiam sahaja, kena siasat dengan segera.

“SPRM perlu siasat Hasan Malek dan ambil tindakan dengan segera jika benar dia salah guna kuasa. Isu ini menunjukkan kronisme dalam Umno itu sendiri,” katanya dipetik Suara Keadilan.

Setiausaha DAP, Lim Guan Eng berkata Najib perlu menjelaskan kepada rakyat individu dimaksudkan mempunyai pertalian rapat dengan pemimpin BN dan mempunyai kuasa dalam Putrajaya.

Selain itu, katanya, Najib juga perlu menjelaskan asas untuk Bank Rakyat meluluskan pinjaman terbabit.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.