Categories
KENYATAAN MEDIA

Beban keluarga besar, Pulau Pinang didesak tarik cadangan naik tarif air

Oleh: BADRUL HISHAM SHAHARIN (CHE’GU BARD)

Saya calon Pakatan Rakyat bagi DUN Sg Acheh (N21) Pulau Pinang pada Pilihanraya Umum Ketiga Belas (PRU13) yang lalu merasa terpanggil bagi pihak penduduk Pulau Pinang secara amnya dan Nibong Tebal khususnya untuk mendesak kerajaan P.Pinang menarik semula cadangan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), anak syarikat PBA Holdings Berhad menaikkan tarif air pada kadar purata 20% bagi pengguna domestik seperti yang diluluskan pada Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Walaupun tiada kenaikan bagi jalur penggunaan pertama di antara sifar dan 20 meter padu sebulan, caj minimum bagi semua pengguna domestik juga dicadangkan naik 20% kepada RM3.00.

Ini akan menjadi fitnah dan bahan propaganda lawan kerana jelas bertentangan dengan salah satu tawaran dalam Manifesto Pakatan Harapan Rakyat bagi PRU13 mengenai “caj air lebih rendah” di mana Pakatan Rakyat berjanji akan memastikan Kerajaan Negeri dan Persekutuan bekerjasama ke arah menurunkan caj air antaranya menerusi penamatan kontrak lumayan syarikat konsesi swasta berkaitan air demi meringankan bebanan kos sara hidup yang ditanggung rakyat.

Malah, pada majlis menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pulau Pinang di antara Kerajaan Negeri dan Kementerian Kewangan di Putrajaya pada 2 Jun 2011, Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng telah memberi jaminan bahawa tarif air bagi pengguna domestik tidak akan dinaikkan. Perjanjian tersebut dikatakan akan memberi tujuh kelebihan kepada Kerajaan Negeri yang antara lain “mengekalkan kuasa menentukan kadar tarif air Pulau Pinang oleh warga Pulau Pinang sendiri”.

Meskipun Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) masih belum memberi kata putus ke atas cadangan menyemak semula tarif, rakyat Pulau Pinang khususnya di kalangan 546,749 pengguna air berdaftar sudah gelisah dan sudah mula menzahirkan kegusaran dan rasa tidak puas hati dengan cadangan yang bakal menyumbang kepada lonjakan kos sara hidup akibat kesan berantai ke atas harga barangan dan perkhidmatan lain.

Golongan yang akan terjejas teruk adalah keluarga besar berpendapatan rendah dan sederhana tidak kira di bandar atau luar bandar kerana di samping kenaikan tarif bagi jalur penggunaan bulanan melebihi 20 meter padu, mereka juga terpaksa membayar “water conservation surcharge” atau surcaj pemulihan air sebanyak 48 sen bagi setiap 1,000 liter sekiranya penggunaan isirumah bulanan melebihi 35,000 liter atau 35 meter padu. Surcaj ini, yang naik 100% daripada 24 sen, berkuatkuasa sejak 1 November 2013., sebenarnya “menghukum” keluarga besar yang sudah tentu mempunyai keperluan air yang tinggi dan bukannya mengekang rakyat yang boros menggunakan air.

Agak mengelirukan jika dikatakan semakan tarif air ini mampu mengelakkan catuan air seperti yang dialami di Selangor, Wilayah Persekutuan, Negri Sembilan, Johor dan Perak beberapa bulan lepas. Ini kerana ramai sedia maklum bahawa catuan air yang berlaku di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia awal tahun ini adalah disebabkan oleh musim kering tanpa hujan luar biasa yang melanda di luar jangkaan, mengakibatkan paras air di empangan turun mendadak. Tidak munasabah krisis bekalan air mentah akibat fenomena cuaca seperti ini boleh diatasi serta-merta dengan menaikkan tarif air.

Penjimatan penggunaan air yang diharapkan akan mengambil masa yang agak lama untuk sebati menjadi cara hidup harian pengguna yang bilangannya meningkat saban tahun. Sebenarnya terdapat alternatif lain agar rakyat lebih menghargai sumber semulajadi terhad seperti air. Sebagai contoh, kempen-kempen meningkatkan kesedaran dan pendidikan berterusan betapa bernilainya air boleh menggalakan penggunaaan air secara berhemat Kadar non-revenue water (NRW) atau air tidak berhasil pada paras 20% sekarang masih tinggi dan masih banyak ruang untuk diperbaiki sebelum kenaikan tarif air digunapakai sebagai kaedah mengurangkan pembaziran air.

Yang pasti, cadangan kenaikan tarif air ini, sekiranya diluluskan SPAN, bakal melipatgandakan keuntungan bagi PBA Holdings Berhad, setelah mencatatkan keuntungan bersih RM27.93 juta pada tahun kewangan 2013. Keuntungan korporat PBA Holdings Berhad yang menjadi kemegahan pentadbiran telus P.Pinang akan lebih bermakna jika ia dikongsi dengan rakyat dengan tidak menaikkan tariff air. Walaupun tarif air di Pulau Pinang kekal terendah di Malaysia pasca-kenaikan, kenaikan tariff dan surcaj ini sama sekali tidak boleh diambil mudah kerana kredibiliti dan reputasi Pakatan Rakyat menjadi pertaruhan.

Sekali lagi bagi pihak rakyat yang gelisah akan kesan kenaikan kos tarif air di P.Pinang saya menggesa Kerajaan Negeri agar menarik semula cadangan kenaikan tersebut. Dalam keadaan rakyat terhimpit dengan perbagai kenaikan angkara kegagalan pentadbiran kerajaan pusat maka rakyat amat mengharapkan Kerajaan Pakatan Rakyat tampil sebagai peringan beban.

Sekian.

# Badrul Hisham Shaharin adalah Pangasas Solidariti Anak Muda Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published.