Categories
NASIONAL

Difitnah blogger Umno, Surendran buat laporan polis

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 5 JUN : Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi ekoran beberapa kenyataan palsu di Twitter yang mengaitkan dirinya berhubung kes kematian seorang anggota polis di Perak pada Mei lalu.

Menerusi Twitternya, Surendran memaklumkan laporan polis ke atas blog pro Umno yang dikenali sebagai Sejarah Melayu itu dibuat kira-kira pukul 11 pagi tadi.

n surendranTurut mengiringi beliau adalah peguam peribadinya, Eric Paulsen dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

“Terlalu lama penulis blog pro-BN telah memfitnah pemimpin pembangkang dengan sewenang-wenangnya.

“Saya berhasrat untuk menjejaki mereka ini sehingga ke bawah dan membuat mereka menjawab bagi jenayah yang dilakukan,” kata Surendran menerusi Twitter.

Antara tweet berbaur fitnah itu adalah seperti “polis yang terbunuh itu sudah tentu tidak mengikut SOP yang betul ketika bertugas” dan “hampir setiap hati anggota polis terbunuh di India, tetapi di Malaysia bila polis terbunuh ia akan menjadi isu besar.”

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Serai juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengendali blog berkenaan kerana bertindak melampaui batas.

Katanya gara-gara tweet itu, dirinya dianggap tidak sensitif terhadap isu kematian membabitkan anggota polis berkenaan.

“Saya akan kenal pasti siapa mereka ini dan saman mereka sama seperti yang dilakukan terhadap blog Papagomo,” katanya lagi.

Pada 26 Mei lalu, seorang anggota polis dilaporkan maut manakala rakannya cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta yang dinaiki sekumpulan penyamun dalam kejadian di Batu 10 menghala ke Alor Pongsu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa, Lans Koperal Mohd. Azuan Abdullah, 25, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya yang belum dikenalpasti identiti pula cedera parah.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.