Categories
NASIONAL

Kerajaan digesa bebaskan Natalie Lowrey segera tanpa syarat

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 27 JUN: Kerajaan Pusat digesa untuk segera membebaskan warga Australia, Natalie Lowrey daripada tahanan yang tanpa asas kukuh sejak enam hari lepas.

Dalam satu kenyataan bersama, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan 31 badan bukan kerajaan (NGO) lain menyifatkan penahanan yang sengaja dilanjutkan itu sebagai tindakan salah guna kuasa.

NatalieMereka berkata Natalie dan peserta lain tidak patut ditahan atas apa-apa dakwaan sekalipun kerana mereka sekadar berhimpun secara aman bagi menyatakan bantahan.

“Mereka sekadar memperjuangkan hak mereka untuk menyatakan pandangan dan berkumpul secara aman bagi memprotes projek yang berbahaya kepada kesihatan dan persekitaran rakyat di Kuantan.

“Tindakan aman mereka adalah sah dan tidak wajar dilihat sebagai satu jenayah.

“Kami menyeru dia dibebaskan serta merta dan tanpa sebarang syarat,” katanya.

Pada 22 Jun lepas, Natalie dan 15 aktivis tempatan ditangkap dan ditahan ketika mengadakan protes aman menentang projek Lynas di Gebeng Pahang.

SUARAM dan lain-lain turut menggesa Kerajaan Pusat memansuhkan Akta Perhimpunan Aman 2012 yang antara lain melarang warga asing daripada menganjur atau menyertai perhimpunan aman.

“Kami juga menyeru kerajaan untuk mendengar bantahan antarabangsa yang menuntut Natalie dibebaskan segera tanpa syarat .

“Kami juga mahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) turut ke Kuantan bagi memastikan keperluan dan hak Natalie dilindungi,” katanya lagi.

Sejak dilancarkan pada 23 Jun lepas, petisyen antarabangsa membantah penahanan Natalie berjaya mengumpulkan lebih 14,000 tandatangan daripada seluruh dunia.

Petisyen itu diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi untuk perhatian dan tindakan selanjutnya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.