Categories
SELANGOR

Rodziah gesa polis siasat segera kes penipuan di Batu Tiga

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 2 JUN : Polis digesa supaya mengambil tindakan segera terhadap pemilik syarikat pembekal di Shah Alam yang dikaitkan dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga bagi kepentingan peribadi untuk mengaut keuntungan.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail, berkata sehingga kini belum ada sebarang tindakan khas daripada polis berhubung perkara berkenaan sejak laporan dibuat minggu lalu.

RodziahBeliau berkata sehingga kini pejabat DUN masih menerima aduan daripada orang ramai yang tidak putus-putus melaporkan kejadian itu.

“Saya masih belum dihubungi pihak polis tetapi apa pun saya dapati kes ini bukan sahaja melibatkan syarikat itu tetapi saya bimbang ada beberapa isu lain yang berbangkit.

“Saya harap polis dapat membuat siasatan yang lebih cepat dan serius supaya kita tidak tertunggu-tunggu kerana ramai yang terlibat dalam isu ini,” katanya kepada Selangor Kini.

Rodziah yang juga Adun Batu Tiga berkata setakat ini pemilik syarikat terbabit masih belum dapat dikenalpasti, malah premis perniagaan di Ken Rimba, Shah Alam itu didapati tidak lagi beroperasi.

Katanya sebarang perkembangan lanjut mengenai isu itu akan dimaklumkan dan dikemaskini melalui Twitternya dari masa ke masa bagi pengetahuan orang ramai.

rodziah“Saya akan terus tweet untuk beri perkembangan terkini sebab sekarang ada usaha seolah-olah ingin mengalihkan isu ini di mana fokusnya bukan kepada syarikat terbabit tetapi mengaitkan saya dengan kata saya pergi perasmian di syarikat ini.

“Saya benar-benar terkilan dan harap tindakan segera dan drastik dari pihak polis dapat dilakukan segera,” katanya lagi.

Rodziah sebelum ini membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 15 kerana mendakwa terdapat sebuah syarikat pembekal di Shah Alam yang menjaja dan menggunakan namanya bagi kepentingan peribadi serta mengaut keuntungan dengan menipu pelanggan.

Syarikat itu juga didakwa menjual barangan dapur dan mengambil pesanan serta wang dari pelanggan tetapi barangan yang dipesan tidak dihantar.

Pihaknya mendapat maklumat selepas sekumpulan wanita hadir ke pusat khidmat masyarakat di Batu Tiga, mengadu dan bertanya mengenai kesahihan maklumat yang diterima dan penglibatan Kerajaan Negeri bersama syarikat itu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.