Categories
NASIONAL

Berbahasa Uyghur di Xinjiang akan ditindas, China mahu hilangkan identiti Turkistan

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 29 JULAI: Identiti dan budaya yang diamalkan etnik Uyghur di wilayah Xinjiang, China cuba dilenyapkan sedikit demi sedikit oleh kerajaan republik itu sebagai salah satu bentuk penindasan terhadap suku kaum berkenaan.

Exco Undang-undang Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohd Khairul Anwar Ismail, berkata selepas era penjajahan Komunis di Turkistan, kerajaan China mewajibkan masyarakat Uyghur mengamalkan bahasa Cina, bahkan silibus pendidikan juga wajib ditukar kepada bahasa tempatan.

China ProtestBeliau berkata, polisi kerajaan China yang bersifat mencengkam menyebabkan kedudukan kaum itu kian terjejas, bahkan penghapusan etnik juga terus dilakukan.

“Siapa yang bercakap bahasa Uyghur akan ditindas kerana kerajaan China mahu menghilangkan identiti Turkistan terus dari republik itu.

“Kalau bangsa sendiri pun ada cengkaman, apatah lagi ke atas bangsa lain, sebab itu kalau kita lihat masyarakat di China mereka biasanya tidak berani untuk mencabar kerajaan.

“Kehidupan mereka lebih kepada sendiri-sendiri,” katanya dalam sesi temubual khas bersama Selangor Kini, baru-baru ini.

Sementara itu, Naib Presiden ABIM, Mohammad Raimi Ab Rahim, berkata bukan hanya etnik Uyghur yang dikecualikan daripada mengamalkan ajaran agama, bahkan penganut agama lain seperti Kristian juga pernah dikecam kerajaan China.

Katanya, republik China pada dasarnya sudah merangka satu peraturan pada tahun 2005 untuk mengawal selia semua agama bagi memastikan ia tidak mengancam keselamatan dan menimbulkan suasana tidak harmoni kepada negara itu.

“Penindasan bukan berlaku kepada Islam sahaja tetapi turut membabitkan agama lain secara umumnya.

“Ia berkenaan dengan isu politik dan budaya tetapi dalam konteks ini, adakah disebabkan mereka dituduh sebagai kumpulan pemisah atau berbeza daripada segi budaya, maka kita cuma tutup mata membabitkan penindasan yang berlaku sama ada kepada umat Islam atau etnik lain di China?” soalnya.

-NFN/EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.