Categories
NASIONAL

Hamas: Rejim Zionist patut keluar Gaza jika mahu gencatan senjata

Oleh : AFEEQA AFEERA

GAZA, 27 JULAI : Pergerakan Hamas di Genting Gaza menolak gencatan senjata kemanusiaan tentera Israel meskipun ia dilanjutkan selama 24 jam untuk menghentikan seketika pertempuran di wilayah itu.

Sebaliknya Hamas yang menguasai Gaza berkata pihaknya hanya akan menerima gencatan senjata jika tentera Israel meninggalkan wilayah berkenaan, lapor Reuters.

gazaHamas dilaporkan mahu menamatkan sekatan Israel-Mesir di Gaza sebelum bersetuju untuk menghentikan permusuhan.

Sebelum ini, Menteri Israel memberi isyarat bahawa perjanjian menyeluruh untuk menamatkan konflik selama 20 hari dengan Hamas yang menyebabkan sekurang-kurangnya 1,050 penduduk Gaza terbunuh “masih jauh”.

Pada Sabtu, ratusan penduduk Gaza mengambil kesempatan memenuhi jalan-jalan utama sejurus gencatan senjata dikuatkuasakan dengan ada di antaranya kembali ke rumah masing-masing bagi memeriksa kesan kemusnahan akibat serangan rejim zionis dan membeli makanan untuk disimpan.

Israel menerusi Operasi Perlindungan Sempadan terus menggempur Gaza dari darat ke udara serta menyerang kepentingan awam dengan mendakwa Hamas menyembunyikan senjata mereka di situ.

Konflik itu setakat ini telah membunuh lebih 1,000 penduduk Gaza dengan kebanyakan jumlah terkorban adalah orang awam.

Kira-kira 46 buah sekolah, 56 buah masjid dan tujuh hospital turut tidak terkecuali menjadi bedilan tentera Israel.

Konflik selama 20 hari itu juga mengakibatkan 5,860 penduduk Gaza cedera dibedil kira-kira 5,300 serangan bertali arus tentera Zionis yang masih gagal dihentikan oleh mana-mana kuasa besar mahupun Mesir yang sebelum ini berjaya menjadi orang tengah kepada gencatan senjata antara Hamas dan Israel.

Lebih 100,000 penduduk Gaza terpaksa meninggalkan rumah masing-masing selepas serangan tentera Zionis setakat ini telah memusnahkan kira-kira 4,329 buah rumah penduduk.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.