Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor sedia inisiatif tangani krisis air

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 8 JULAI : Melalui pelaksanaan penstrukturan semula industri air, Kerajaan Selangor komited untuk memastikan rakyat di negeri itu terus mendapat bekalan air bersih pada harga yang berpatutan.

Jawatankuasa Pasukan Petugas Air Negeri Selangor dalam satu kenyataan berkata sementara menunggu pelaksanaan penstrukturan semula air dilakukan, Kerajaan Negeri sudah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menangani krisis air.

airbaruAntaranya mengkaji penambahan pembekalan air bagi membolehkan pemindahan air dari Loji Sungai Selangor 1 dan 3 ke Hulu Langat serta kawasan lain dilaksanakan.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut melaksanakan projek mitigasi bernilai RM374 juta bagi pelaksanaan kerja pemasangan paip, pembinaan rumah pam baru dan kerja penggantian aset di loji pembersihan air.

“Inisiatif lain adalah menjalankan kajian semula kapasiti keupayaan kemudahan rawatan air utama termasuk kajian semula potensi ke atas loji pembersihan air Jelutong dan kajian Penyusupan Tebing Sungai di Jenderam Hilir, Dengkil, berhampiran loji pembersihan air Sungai Semenyih.

“Selain itu, kajian beberapa skim penyimpanan luar sungai seperti Horas dan kerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk mengoptimumkan penggunaan air hujan di kolam Bestari Jaya turut dilaksanakan.

“Inisiatif ini mengimbangi dua punca bekalan air mentah yang memastikan tiada kehilangan air dan juga memantau pengaliran air keluar sebagai jaminan kemapanan sumber air dan bekalan air berterusan kepada pengguna,” kata jawatankuasa itu.

Antara inisiatif lain adalah melaksanakan pembenihan awan sejak April lalu dengan perbelanjaan RM680,000 serta melantik “Biro Membuat Hujan Diraja dan Penerbangan Pertanian Thailand” untuk kepakaran dan nasihat untuk meningkatkan teknik pembenihan hujan di kawasan tadahan.

Katanya kerajaan Negeri juga sedang menimbangkan penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor dengan kadar 300 juta liter sehari (JLH) sehingga 600 JLH melalui terowong ke Sungai Langat untuk meminimumkan gangguan bekalan air di kawasan Hulu Langat dan Cheras.

“Pelan ini apabila siap dan beroperasi akan meletakkan loji pembersihan air Langat dan Cheras dalam kedudukan lebih berdaya tahan.

“Walaupun semua inisiatif terlaksana, masih banyak kerja yang perlu dilaksanakan demi memastikan rakyat Selangor dapat menikmati manfaat perkhidmatan air yang terkini dan boleh dipercayai,” kata kenyataan itu lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.