Categories
SELANGOR

Kerusi MB satu, yang berminat ramai

Oleh :LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 JUL: Kritikan dan serangan bertubi-tubi yang dilancarkan terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak akan sesekali memberi tekanan kepada beliau.

Beliau berkata, semua itu menjadikan dirinya lebih kuat berusaha untuk melakukan yang terbaik demi rakyat Selangor.

Katanya, beliau kini perlu bekerja kuat lagi demi membuktikan bahawa dirinya layak untuk memegang jawatan nombor satu negeri itu.

Abdul Khalid“Lagi diserang, makin saya kuat bekerja kerana mahu buktikan boleh bekerja. Inilah yang dikatakan orang sebagai lumrah politik, saya mesti terima.

“Kerusi Menteri Besar ini ada satu sahaja, barangkali yang berminat itu ramai,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kritikan serta desakan untuk meletakkan jawatan memberi tekanan kepadanya melaksanakan tugas Menteri Besar.

Pada 29 Jun lalu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pimpinan parti untuk tidak mengulas isu jawatan Menteri Besar kerana ia adalah keputusan bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat dengan perkenan DYMM Sultan.

Memetik portal The Mole, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga menegaskan parti itu mahu Abdul Khalid terus kekal sebagai Menteri Besar dan menafikan wujud perbincangan untuk menggantikannya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.