Categories
NASIONAL

MH17: Adakan inkuiri antarabangsa segera untuk cari punca nahas

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 JULAI: Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) melahirkan simpati dan takziah berhubung isu pesawat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang terhempas lewat malam semalam.

Dalam laman Twitter, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan keselamatan semua penumpang pesawat.

photo 2“MH17, Ya Allah. Another tragedy. Awaiting details, pray for safety,” kata Anwar.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula mengajak masyarakat antarabangsa mengambil peranan untuk memberikan tekanan kepada pihak yang terbabit dalam konflik supaya tidak membabitkan orang awam yang tidak berdosa dalam pertikaian mereka.

“Jika benar ia adalah serangan sebagaimana dilaporkan, ia wajib dikutuk dan diambil tindakan,” kata Nik Aziz dalam Facebooknya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, berkata pihak yang terbabit dalam krisis wilayah Ukraine-Russia perlu bertanggungjawab jika benar laporan berkenaan.

“Kita bersedih di atas tragedi ini. Jika benar MH17 ditembak, Ukraine, Rusia, Eropah dan Amerika Syarikat mesti bertanggungjawab,” katanya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula melahirkan rasa sedih dan terkejut dengan tragedi itu.

photo 1“Terkejut dan sedih dengan tragedi MH17. Doa buat penumpang, anak kapal dan keluarga mereka,” katanya.

Selain itu, beberapa pemimpin PR lain juga tidak berhenti berkongsi status di akaun Twitter dan Facebook.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang juga terkejut dengan tragedi kedua menimpa negara serta mendesak inkuiri antarabangsa diadakan serta-merta bagi mencari punca insiden terbabit.

“Dunia mesti kecam/desak inkuiri antarabangsa ke atas jenayah menembak pesawat awam MH17 dengan 295 penumpang, sama ada pemisah Rusia atau Ukraine,” kata Lim dalam akaun Twitternya.

Naib Presiden PKR, Azmin Ali pula berharap orang ramai tabah jika benar laporan pesawat negara itu ditembak.

“Pray for MH17, May Allah help us all,” katanya.

MH17 aPesawat MH17 dilaporkan mungkin ditembak ketika terbang di kawasan yang sedang bergolak dengan konflik ketenteraan antara Ukraine-Rusia.

Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak belum mengesahkan sama ada pesawat itu ditembak atau sebaliknya dan menuntut keadilan jika perkara itu benar.

Berita berkenaan pesawat MH17 terhempas tersebar selepas agensi berita antarabangsa melaporkan insiden yang berlaku di sempadan Ukraine-Rusia.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.