Categories
SELANGOR

RM23.6 juta zakat diagih kepada 32,843 keluarga asnaf

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 JUL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukan RM23.6 juta bantuan zakat untuk diagihkan kepada 32,843 keluarga asnaf fakir dan miskin seluruh Selangor.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, sebanyak RM7.5 juta daripadanya diagihkan kepada 10,144 keluarga asnaf fakir dan RM16.1 juta lagi diagihkan kepada 22,699 keluarga asnaf miskin.

Sultan“Setiap keluarga akan menerima bantuan zakat antara RM550 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan.

“Bantuan berkenaan diagihkan menerusi 18 buah masjid di negeri ini bermula 19 Jun bagi golongan memerlukan itu membuat persiapan,” kata Mohamad Adzib dalam Majlis Berbuka Puasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Bersama Rakyat di Masjid Negeri Selangor di sini, petang semalam.

Kata Mohamad Adzib lagi, LZS juga menetapkan kadar zakat fitrah tahun ini kekal RM7, sama seperti tahun sebelumnya.

Jelas beliau, bagi memudahkan masyarakat Islam negeri ini membayar zakat fitrah, selain terus ke 25 kaunter LZS, LZS juga melantik 2,477 ketua dan penolong Amil Fitrah di masjid-masjid dan pasaraya terpilih.

Orang ramai juga boleh membuat bayaran zakat fitrah melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dengan kerjasama syarikat telekomunikasi Celcom dan Digi.

Mohamad Adzib juga sempat menyentuh jasa Imam Besar Masjid Negeri Selangor, Allahyarham Ahmad Mustafa Saidin yang kembali ke Rahmatullah pada 9 Jun lalu.

“Allahyarham semasa hayatnya banyak menyumbang tenaga dan fikiran bagi menjayakan aktiviti berkaitan Islam bagi semua golongan, tua, muda, remaja dan kanak-kanak.

“Sehinggakan Masjid Negeri ini terkenal sebagai pusat pengajian utama bagi Negeri Selangor,” kata beliau lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.