Categories
SELANGOR

Anjur perhimpunan, Chegu Bard dilepas tanpa dibebaskan

SHAH ALAM, 4 OGOS: Mahkamah Sesyen, di sini melepas tanpa membebaskan bekas Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai ‘Chegubard’ daripada tuduhan menganjurkan perhimpunan program penghargaan kepada pengundi Selangor, tahun lalu.

Hakim Yasmin Abdul Razak membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Tan Gin Han dan peguam Michelle Yesudas yang mewakili tertuduh.

Terdahulu, dalam prosiding hari ini yang ditetapkan untuk sebutan kes itu, Gin Han memohon mahkamah menetapkan tarikh baru sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan keputusan Mahkamah Rayuan yang menggugurkan pertuduhan ke atas Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad kerana menganjurkan perhimpunan Blackout 505 di Stadium Kelana Jaya pada 8 Mei 2013.

chegu bardMemetik BERNAMA, Michelle yang mewakili Badrul Hisham membantah permohonan pendakwaan dan berhujah bahawa keputusan rayuan kes Nik Nazmi di Mahkamah Persekutuan masih belum mempunyai tarikh dan pertuduhan terhadap anak guamnya akan berlanjutan sehingga kes Nik Nazmi selesai.

Badrul Hisham, 35, yang juga Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, sebagai penganjur perhimpunan program itu didakwa gagal memberitahu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya berkenaan program terbabit dalam tempoh masa ditetapkan iaitu 10 hari sebelum tarikh diadakan.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Dataran Petaling Jaya, Padang Timur, Jalan Timur, di sini, pada jam 5 petang, 25 Mei 2013.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.