Categories
SELANGOR

RM1.049 bilion untuk MES, tender terbuka jimat RM303 juta

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 25 OGOS: Sebanyak RM1.049 bilion sudah dibelanjakan Kerajaan Negeri setakat ini bagi menampung pelaksanaan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang dilancarkan sejak 2008.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata beliau berbangga dengan pencapaian Kerajaan Selangor dalam menjayakan kesemua 17 program MES khusus kepada rakyat berpendapatan rendah tidak kira usia, agama mahupun fahaman politik.

Perhimpunan bulanan Kerajaan ogos 2014 MB (3)Beliau berkata kejayaan program MES didorong oleh faktor kewangan Kerajaan Negeri Selangor yang memberangsangkan sehingga Mac lalu dengan Kumpulan Wang Disatukan berjumlah RM2.948 bilion.

“Lebih membanggakan kedudukan rizab yang kuat ini dapat membiayai pembinaan Jambatan Ketiga Klang yang direka khas dengan mempunyai enam lorong merentas Sungai Klang dan melibatkan kos sebanyak RM300 juta.

“Dengan rizab ini juga kita dapat melancarkan Projek Rumah Selangorku di Ukay Indah, Sungai Sering yang menyediakan lebih banyak jenis rumah mampu milik dengan kos RM100 juta,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Selangor di Dewan Jubli Perak, hari ini.

Abdul Khalid berkata sistem tender terbuka yang diamalkan sejak 2011 sejajar dengan amalan telus dan tanggungjawab dalam pentadbiran Selangor juga berjaya menjimatkan lebih RM303 juta.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.