Categories
BERITA UTAMA

Mengintegrasikan fokus reformasi dan mengatasi cabarannya

Oleh: Rodziah Ismail

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke -57.

Merdekakah kita?

Seusia 57 tahun tentunya banyak khazanah pengalaman dan usaha yang telah merealisasikan agenda sosio-ekonomi dan politik di Malaysia.

Tema dan Logo Kemerdekaan 57 Malaysia Tahun 2014Menuju ke arah negara maju di dunia, Malaysia yang matang tentunya mempunyai ukuran-ukuran kecemerlangan dan model-model kejayaan yang tersendiri.

Tetapi indeks-indeks yang diterima pakai oleh masyarakat antarabangsa masih menunjukkan Malaysia yang ditadbir oleh Umno-BN di tahap yang tidak setaraf hasratnya menjadi negara maju.

Berikut adalah ranking Malaysia dalam :

·      Indeks Jurang Gender : tempat ke-102 dari 136 negara (2013)

·      Gini Coefficient : 46.21(2009) [20% warga Malaysia terkaya memiliki 51.45% dari jumlah pendapatan keseluruhan]

·      Status Membanteras Pemerdagangan Manusia : Tier-3 (2014)

·      Kewartawanan : 145 dari 179 negara (2013)

·      Penglibatan Politik Wanita Malaysia : 143 dari 179 negara (di belakang Mongolia, Syria, Zimbabwe, Cambodia, Bangladesh, Filipina dan Vietnam)

·      Indeks Korupsi : 53 dari 177 negara

·      % Pinjaman berbanding GDP : 56%

·      Akses Internet : hanya 60% daripada penduduk Malaysia yang mendapat akses internet

Relasi antara kaum masih menjadi isu yang dipolitikkan bagi meraih sokongan.   Dua isu yang sehingga kini masih menjadi sensitif ialah berkaitan bangsa dan agama.

Akhlak yang dianjurkan oleh agama masing-masing dalam menerbit dan mewujudkan suasana harmoni antara kaum dan agama masih gagal disempurnakan oleh Umno-BN yang memerintah Malaysia.

Majoriti rakyat tidak mengenal apakah sebenarnya Islam itu yang menjadi agama rasmi negara Malaysia.

 Merdekakah kita?

Jurang ekonomi yang semakin lebar ditimpakan lagi dengan berbagai kos, kenaikan harga dan cukai seperti GST yang mesti dibayar oleh rakyat Malaysia, ditambah pula dengan ketirisan berpuluh bilion ringgit yang dilaporkan oleh Audit Negara dan laporan wang haram yang diraih di dalam Malaysia yang tidak pernah dijawab atau disanggah oleh Kerajaan Malaysia.

Ketirisan sedemikian menafikan hak rakyat terhadap pendapatan-pendapatan tersebut yang sewajarnya boleh digunakan untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

Merdekakah kita?

Demokrasi tulin yang belum kesampaian tampak jelas dalam isu persempadanan semula kawasan-kawasan parlimen dan DUN untuk memberi kelebihan kepada parti pemerintah, Umno-BN supaya terus berkuasa dengan memenangi pilihan raya 2018 kelak.

Protes dan pandangan rakyat yang diwakili oleh wakil-wakil rakyat dari pihak Pakatan Rakyat dan NGO tidak diendahkan.

Ia mendiskriminasi sebahagian rakyat, bahkan undi popular PRU-13 lalu 51% adalah kepada Pakatan Rakyat.

Rakyat dirayu untuk tetap bersama Pakatan Rakyat dengan keberadaan pimpinan yang sentiasa bersungguh untuk melaksanakan apa yang menjadi hak rakyat.

IKAT BALI merupakan suatu kolaborasi aktivis wanita serantau yang telah mendokong cita-cita bekerjasama ke arah mengukuhkan hak politik wanita dan demokrasi dengan advokasi-promosi peningkatan perwakilan wanita dalam arena politik menerusi initiatif perkongsian dan kerjasama serantau.

Selangor telah banyak berkongsi pengalaman dan polisi ke arah merealisasikan aspirasi IKAT BALI dengan model-model polisi, proses pencalonan dan pelantikan wanita-wanita untuk memenuhi minimum 30% kedudukan kepimpinan dalam pentadbiran negeri dan parti politik.

Ia adalah satu susulan kepada perakuan negara signatori seperti Malaysia yang telah menandatangani deklarasi, konvensyen dan resolusi antarabangsa berkaitan penglibatan politik wanita di negara masing-masing.

Sehubungan itu, tiada sebarang kontroversi bilamana seorang wanita dicalonkan sebagai Menteri Besar di Selangor.

Datuk Seri Wan Azizah binti Wan Ismail telah sekian lama menjadi “political savior”, memegang jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat sejak ia ditubuhkan pada 1999 dan dikelilingi oleh para penasihat terbaik dari kalangan parti dan Pakatan Rakyat.

Sifat beliau yang sentiasa tenang dan boleh dijadikan sandaran dalam berbagai isu, khususnya dalam menghadapi berbagai cabaran politik, menjadi penyatu berbagai pihak yang berbeda posisi-pandangan mereka.

Saya percaya, dengan barisan pemimpin dan penasihat yang komited dengan agenda mensejahterakan rakyat Selangor, beliau akan berusaha dan berkemampuan melaksanakan amanah sebagai Menteri besar Selangor dengan baik.

PAKATAN RAKYAT

 
“If we can survive each other, we can survive anything.”

Tidak ada hubungan dan gerakan politik yang berwawasan seperti Pakatan Rakyat yang bebas konflik dan cabaran.

Cabaran-cabaran yang menyinggah, sama ada dari dalam atau luar, sering bertujuan untuk meruntuhkan gagasan yang telah dibina dan ingin dikembangkan dengan baik oleh para ahli politik dari ketiga-tiga parti yang mendokongnya, DAP, KEADILAN dan PAS.

Setiap himpunan dari latarbelakang yang berlainan akan memerlukan keteraturan/ keselarasan/ kesesuaian dan proses-proses keserasian dan keintiman politik di semua peringkat yang tentunya mengambil masa, walaupun ia diharap segera berlaku dan bukan tertunggu-tunggu dan tidak diurus kekemasannya.

Kebersamaan bersama rakyat harus diberi tumpuan dan menjadi keutamaan. Rakyat perlu dicelikkan tentang demokrasi, politik durjana/bangsat dan mengenalpasti pemimpin yang rakus dan tidak segan silu mengambil hak dan wang rakyat.

Janganlah rakyat dikelirukan dengan pengucapan dan perbuatan yang mengelirukan mereka dan berisiko mereka akan mensetarafkan bahawa semua ahli politik adalah sama belaka.

Apa yang diperlukan oleh Pakatan Rakyat adalah kepimpinan yang menaruh 100% kepercayaan bahawa Pakatan Rakyat itu sajalah ketika ini yang bisa menandingi kepolitikan Umno-BN.
Umno-BN akan sedaya upaya mereka memecahbelahkan keintiman di kalangan anggota berbeda parti dalam Pakatan Rakyat.

Mengembalikan asas perjuangan Pakatan Rakyat kepada apa yang disepakati amatlah wajar. Ia bermaksud mengurus dan meleraikan kekusutan dan bukan mengambil kesempatan  mendominasi ruang dan peluang yang terbuka kerana itu akan menghilangkan kepercayaan dan menyuburkan prasangkaan.

Keduanya, kehilangan kepercayaan dan prasangkaan, perlu dicantas oleh para aktivis politik Pakatan Rakyat secara kolektif dan sepakat, sekaligus meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap integriti dan kebolehmampuan Pakatan Rakyat sebagai Kerajaan Malaysia yang baru.

Beberapa isu yang saya kemukakan di atas menjadi di antara fokus sosio-ekonomi dan politik agenda reformasi yang memerlukan pra-syaratnya. Antaranya adalah kelahiran insan yang merdeka yang mampu mengintegrasikan fokus reformasi dan mengatasi cabaran-cabarannya.

Manusia yang berkuasa boleh mempunyai agenda dan kemahuannya tersendiri. Hanya insan yang mengongkong dirinya terhadap prinsip dan nilai yang diredai oleh Allah swt. akan merasai kebebasan yang hakiki.

Itulah insan berkuasa yang merdeka, yang mampu mengintegrasikan fokus reformasi dan mengatasi cabarannya dengan tertib, semangat, sensitiviti dan langkah tanpa menggadaikan sebarang prinsip dan nilai dan merosakkan keintegritian perjuangan reformasi.

Merdeka!

* Rodziah Ismail adalah ADUN Batu Tiga Shah Alam

Leave a Reply

Your email address will not be published.