Categories
NASIONAL

Pemuda PR mahu isu MB Selangor dibincang 8 mata

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 7 OGOS: Pemuda Pakatan Rakyat (PR) mahu pertemuan lapan mata diadakan segera bagi melerai kekusutan isu Menteri Besar.

Dalam satu kenyataan bersama, Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat, Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua DAPSY, Teo Kok Seong berkata pertemuan di antara pimpinan tertinggi PR dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu diyakini mampu menyelesaikan kemelut berkenaan.

Grafik-Selangor-Pakatan

Kata mereka, krisis yang sedang melanda ini memberi gambaran kurang baik kepada generasi muda yang akan mewarisi kepimpinan akan datang.

“Anak muda Malaysia mahukan segala masalah yang timbul dalam PR diselesaikan melalui meja rundingan dengan segera.

“Kami berpandangan, penyelesaian paling munasabah pada tahap ini adalah pertemuan lapan mata,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Pada 21 Julai lepas, Anwar mengumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menggantikan Abdul Khalid namun tidak dipersetujui Abdul Hadi.

Semalam, Abdul Khalid membalas surat tunjuk sebab yang dituntut PKR selain turut membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah laku terhadap dirinya.

PAS akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa pusat pada Ahad ini dan dijangka membincangkan isu berkenaan.

“Kami yang mewakili sayap anak muda juga mengharapkan para pimpinan tertinggi PR khususnya PAS untuk menjadi pemudahcara pertemuan lapan mata ini.

“Pengalaman PAS menghadapi konflik politik Kelantan yang melibatkan jawatan Menteri Besar pada tahun 1977 boleh dijadikan panduan dan pengajaran untuk kita semua,” kata mereka lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.