Categories
KENYATAAN MEDIA

PKNS tanam pokok ke-sejuta

Oleh: PKNS

SEPANG, 28 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mencatat sejarah apabila berjaya menanam pokok yang ke sejuta sejak 1964 sehingga kini di bandar ke sebelasnya, Taman Sains Selangor 2 (SSP2), di sini, hari ini.

Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim berkata, penanaman pokok yang ke sejuta itu diadakan bersempena dengan Sambutan Jubli Emas PKNS pada tahun ini.

“Sejak 50 tahun yang lalu PKNS sudah memupuk semangat cintakan kehijauan pokok yang berperanan penting dalam memberikan keselesaan dan kesejahteraan kehidupan seharian kepada masyarakat.

“Kita telah menanam pelbagai jenis pokok di semua bandar yang PKNS bangunkan bagi meningkatkan kesedaran dan penghargaan kepada alam sekitar,” katanya.

Ishak berkata lagi, program berkenaan juga merupakan inisiatif berterusan PKNS terhadap memelihara alam sekitar selain menggalakkan penglibatan warga PKNS, komuniti, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan profesional.

“Pokok yang ditanam hari ini ialah jenis Casuarina Sumatrana (Rhu Sumatrana), sejak 1964 pelbagai pokok yang telah PKNS tanam antaranya ialah Bucida Buciras, Khaya Senegalensis, Samanea Saman, Euginia Glauca, Ficus Elastica, Tabebuia Rosea dan banyak lagi,” katanya.

Program berkenaan mendapat kerjasama penuh Institut Arkitek Lanskap Malaysia (ILAM) dan dirasmikan oleh Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah.

Sepanjang Ogos ini pelbagai program yang telah dan akan dianjurkan oleh PKNS bagi memeriahkan lagi sambutan 50 tahun, antaranya sepeti Konvensyen Tahunan Integriti 2014, Cabaran Boling Jubli Emas PKNS bersama Media, Cabaran Memancing Kota Puteri serta banyak lagi.

PKNS ditubuhkan pada 1 Ogos 1964 di bawah Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, 1964, sebagai badan korporat dan agensi untuk pembangunan peringkat negeri melalui pembahagian dan pemacuan pertumbuhan sosio ekonomi di Selangor, bertujuan untuk menggalakkan kestabilan, keharmonian dan keadilan sosial untuk mencapai visi negara. Sikap optimis ini direalisasikan melalui pembangunan pusat pertumbuhan baru, perumahan, perindustrian, perniagaan dan pelaburan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.