Categories
SELANGOR

Selangor 3 terbaik pelaburan tertinggi di Malaysia sejak 2008

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM,25 OGOS: Selangor terus mencatat peningkatan memberangsangkan dan sentiasa berada dalam kedudukan tiga teratas dari segi sektor pelaburan di Malaysia sejak 2008 hingga 2013, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata sejumlah RM29.132 bilion direkodkan untuk pelaburan tempatan dan asing di mana sebanyak 137,766 peluang pekerjaan telah dicipta.

pelaburan selangor“Selangor merekodkan pelaburan kedua tertinggi di Malaysia dengan jumlah pelaburan sebanyak RM9.833 bilion pada tahun 2013 dan 228 projek telah diluluskan,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Selangor di Dewan Jubli Perak, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata kejayaan yang dirangkul adalah hasil kerjasama dengan kakitangan awam baik di peringkat atasan mahupun bawahan yang bergerak sebagai satu pasukan.

Beliau berkata sifat tidak mendahulukan kepentingan diri dan menganggap kerja sebagai satu ibadah perlu dijadikan pegangan supaya rakyat sentiasa mendapat perkhidmatan terbaik.

“Sejak saya mendapat kepercayaan rakyat untuk menerajui tampuk Kerajaan Selangor pada Mac 2008, saya berasa amat bernasib baik kerana diberi peluang untuk berkhidmat pada rakyat, negeri dan negara.

“Ini adalah kerana saya ingin meninggalkan legasi seperti apa yang telah saya lakukan ketika saya mengetuai Permodanan Nasional Berhad (PNB) dan kemudiannya Kumpulan Guthrie.

“Saya berfikir ketika itu, jika saya boleh meninggalkan legasi di Kerajaan Negeri Selangor, maka saya anggap saya telah berjaya,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.