Categories
SELANGOR

Selangor lulus pinjaman mudah RM48.5 juta mantapkan KUIS

Oleh: LIZAWATI MADFA

BANGI, 27 OGOS: Kerajaan Negeri meluluskan pinjaman mudah bernilai RM48.5 juta kepada Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) bagi mengukuhkan institusi itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pinjaman diberikan khusus melancarkan pembangunan fasiliti termasuk menaik taraf fasiliti sedia ada serta pembinaan fasiliti baru.

KUIS2Dengan itu, katanya, dapat memberi keselesaan dan kemudahan lebih baik kepada seluruh warga KUIS.

“Usaha ini harus diperhalusi dan digarap dengan rapi oleh semua warga KUIS agar ia mampu memacu KUIS ke arah sebuah Universiti penuh bertaraf antarabangsa.

“Jaringan kerjasama akademik antara institusi dalam dan luar negara juga adalah penting dalam perkongsian maklumat demi kemajuan masa hadapan,” katanya di hadapan hampir 1,000 hadirin.

Beliau berucap demikian dalam Majlis Konvokesyen KUIS kali ke-17 di Pusat Konvensyen, KUIS di sini pagi semalam yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohammad Adzib Mohd Isa.

Majlis konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 1,610 graduan berjaya menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang.

Pada masa sama, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri juga menyokong penuh penubuhan pusat zakat dan wakaf KUIS untuk membantu pelajar.

“Disarankan sidang hadirin membantu meningkatkan dana zakat dan wakaf KUIS demi keselesaan dan kemudahan pendidikan pelajar di KUIS dalam pembangunan pendidikan lebih mampan,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.