Categories
SELANGOR

Tindakan telus atasi masalah sampah di Kajang

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM 7 OGOS: Tindakan Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah sampah di kawasan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mendapat sokongan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) namun segala perancangan perlu dilaksanakan secara telus dan terbuka.

Malah syarikat dilantik juga sewajarnya tidak hanya memikirkan keuntungan dengan kepentingan awam menjadi keutamaan.

sampah kajangAhli majlis MPKj, Mad Shahmiour Mat Kosim berkata, tindakan Kerajaan Negeri itu sememangnya disokong kerana masalah sampah sudah berlarutan agak lama di kawasan berkenaan.

Katanya, pemindahan operasi lomggokan sampah di kawasan Loji Bahan Bakar Terbitan atau Refuse Derived Fuel (RDF) di Semenyih ke Tapak Pelupusan Sampah Tanjung 12 juga satu langkah tepat.

“Tindakan untuk pindah itu bagus cuma kita harap pemilihan syarikat dan juga segala perkara berkaitan, diminta Kerajaan Negeri jalankan secara telus.

“Kita juga berharap syarikat yang terpilih ini menjalankan tugas dengan kos berpatutan dan tidak mengambil keuntungan di luar jangkaan. Semoga isu sampah di Kajang ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya kepada SelangorKini.

Mad Shahmiour turut mengalu-alukan audit dilakukan kerana selama ini ia tidak dilaksanakan dengan pihak RDF dikatakan tidak bersedia dengan tindakan berkenaan.

Dalam kenyataan media dikeluarkan Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar menyatakan masalah sampah di kawasan MPKj dijangka selesai apabila 30,000 tan longgokan sampah di RDF di Semenyih akan dipindahkan ke Tapak pelupusan Sampah Tanjung 12.

Kerja-kerja memindahkan longgokan sampah bermula 5 Ogos lalu dikendalikan syarikat Hebat Abadi iaitu anak syarikat milik penuh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

IMG-20140805-WA0022Keputusan untuk melantik Hebat Abadi bagi menyelesaikan masalah longgokan sampah di Kajang telah dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini yang membincangkan isu kutipan sisa peejal di kawasan MPKj.

MMKN juga membuat keputusan untuk menjalankan audit operasi terhadap loji RDF bagi menentukan keberkesanan pengurangan baki sampah selepas diproses dan juga menentukan daya maju dan kesinambungan projek ini.

“Audit ini membolehkan Kerajaabn Negeri mengenal pasti strategi terbaik bagi menangani masalah sampah di Kajang,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Langkah Kerajaan Negeri ini turut mendapat perhatian Ahli majlis MPKj, Dr Zainon Ghazaley yang menjelaskan masalah longgokan sampah berlarutan agak lama di kawasan berkenaan.

“Perkara ini berkaitan Kerajaan Negeri dan berharap syarikat dilantik mampu menyelesaikan masalah ini.

“Contohnya pada musim perayaan ini banyak kawasan yang dipenuhi sampah sarap, kita harap ia dapat diatasi dengan segera,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.