Categories
SELANGOR

50,000 masyarakat pelbagai bangsa raikan Festival Bon Odori

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 21 SEPT : Festival Bon Odori yang diraikan saban tahun di Malaysia disambut meriah dan penuh keriangan dengan dibanjiri hampir 50,000 pengunjung berbilang bangsa dari seluruh pelusuk negara.

Biarpun hujan lebat sepanjang pesta itu berlangsung, namun ia tidak menghalang orang ramai untuk berhibur dengan penampilan ala Jepun.

bon-odori-1Dengan memakai kimono musim panas yang dikenali sebagai Yukata dan sepasang sandal kayu, rata-rata yang hadir tidak melepaskan peluang untuk bersantai bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

Berlangsung di padang Kompleks Sukan Negara (Kompleks Sukan Panasonic) di Seksyen 21, Shah Alam, puluhan ribu pengunjung berkumpul pada setiap tahun untuk menghayati budaya dan seni negara matahari terbit itu.

Menerusi irama muzik daripada pukulan gong, gendang dan tiupan seruling, Kompleks Sukan Negara serta-merta membawa aura medan tarian mega.

Dengan sekumpulan penari yang berpakaian lengkap Yukata dan sandal kayu, sebuah pentas khas dikenali sebagai Yagura dibina di tengah-tengah stadium mengajak pengunjung mengikut rentak muzik bersama-sama barisan penghibur.

Selain tarian tradisional, pengunjung turut tidak melepaskan peluang untuk menikmati juadah Jepun antaranya Unagi Don atau nasi ikan belut selain sushi.

Selain itu, juadah seperti ais kacang, minuman ringan dan aiskrim dari Jepun turut dijual di festival itu.

Turut hadir memeriahkan festival itu adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam bahasa Jepun, Odori membawa maksud tarian manakala Bon pula adalah singkatan bagi nama satu teks agama Buddha, Ullambana Sutra.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.