Categories
BERITA UTAMA

Wawancara khas sempena ulang tahun kemerdekaan bersama MB Selangor

Oleh: NAZLI IBRAHIM

Soalan 1:

Tan Sri, tidak berapa hari sahaja lagi kita akan menyambut ulang tahun hari kemerdekaan negara yang ke-57. Boleh Tan Sri kongsikan makna kemerdekaan dari perspektif Tan Sri sendiri sebagai seorang tokoh korporat, politik, pemimpin negeri dan seorang reformis?

Jawapan: Saya lahir pada 1946. Saya juga sempat semasa bersekolah menyambut kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.  Saya juga sempat bersama di Universiti untuk meraikan hari kemerdekaan dan hari Malaysia. Jadi saya adalah antara mereka-mereka yang dapat menikmati hasil kemerdekaan dimana hasil kemerdekaan negara telah dapat memajukan negeri-negeri dan
hasilnya kemakmuran dapat dilimpahkan kepada rakyat.

MB Lancar Pesta Buku di SACC 30.08.2014 (7)Sudah tentulah tatacara yang dilakukan mungkin berbeza dari pandangan-pandangan mereka-mereka yang analisa contoh-contoh pentadbiran tetapi pada dasarnya kemerdekaan Malaysia telah memberikan peluang supaya semua rakyat dapat menikmati kemakmuran negara.

Soalan 2:
Siapa tokoh pejuang kemerdekaan yang paling Tan Sri kagumi dan mengapa?

Jawapan:
Saya telah melihat pemimpin-pemimpin yang berbeza dan Malaysia boleh jadi bernasib baik kerana mempunyai pemimpin-pemimpin yang secocok dengan zamannya.

Sudah tentulah Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman dapat menyatukan rakyat Persekutuan Tanah Melayu yang berbilang kaum dan bersama-sama menyahut perkataan kemerdekaan dan Tunku Abdul Rahman berjaya membuat asas yang kukuh bagi mengharmonikan rakyat di Malaysia.

Bagaimanapun Almarhum Tun Abdul Razak juga antara pemimpin yang saya anggap telah memberikan sumbangan yang sangat penting dalam pembangunan negara Malaysia. Beliau telah membuat satu dasar dimana pembangunan luar bandar sebagai asas yang menentukan kejayaan negara dan hasilnya sampai sekarang dinikmati sebilangan besar rakyat luar bandar
dan dibandar hasil dari program pembangunannya.

Saya rasa Malaysia dalam usaha menjalankan pentadbiran negeri dan negara mempunyai mereka-mereka yang walaupun tidak berkecimpungan dalam arena politik tetapi memberikan sumbangan sangat besar. Antaranya adalah (bekas Menteri Kewangan) Tun Tan Siew Sin, seorang pemimpin Tiong Hua yang sanggup berkorban untuk menjaga kewangan negara.

Juga Almarhum Tun Ismail Ali yang ditugaskan untuk mentadbir Bank Negara Malaysia (BNM) dan seterusnya Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang kejayaan itu telah memantapkan ekonomi Malaysia dan (bekas Ketua Hakim Negara) Tun Suffian (Hashim), seorang hakim yang membuat beberapa usaha supaya tahap kehakiman negara ini sangat dihormati dan dipercayai.

Sudah tentulah ada ramai lagi pemimpin lain yang memberikan sumbangan kepada kejayaan negara ini sama ada secara langsung dan tidak langsung.

Soalan 3:

Sebelum ini nama Tan Sri sudah tercatat dalam sejarah dunia korporat dengan pelbagai pencapaian. Selepas ini sudah pasti nama Tan Sri turut tercatat dalam sejarah sebagai seorang ahli politik yang pernah menjawat jawatan Menteri Besar Selangor.

Bagaimanakah Tan Sri mahu diri Tan Sri dicatatkan dalam sejarah utk dikenang generasi akan datang khususnya generasi Selangor?

Jawapan:

Saya rasa yang penting adalah mereka yang akan menerima saya sebagai seorang yang menjalankan tugas yang penuh amanah dan bertanggungjawab. Saya tidak kira sama ada berkerja sebagai  pentadbir, sebagai seorang yang menjalankan pengurusan pelaburan atau menjadi pentadbir sebagai seorang Menteri Besar, kesemua tanggungjawab ini saya ingin lakukan dengan penuh amanah, berintregiriti dan hasilnya saya akan buat dengan sebaik yang saya boleh.

Jadi, yang saya diingatkan ialah supaya saya dianggap sebagai seorang yang mencuba melakukan yang benar dan yang baik, bukan untuk kepentingan diri tetapi kepentingan umah dan rakyat.

Soalan 4:

Selepas enam tahun bergelar Menteri Besar, ada banyak pencapaian membanggakan yang boleh dianggap sebagai legasi tinggalan Tan Sri contohnya program MES dan pengambilalihan industri air Selangor.

Adakah Tan Sri berpuas hati dengan legasi-legasi yang bakal Tan Sri tinggalkan ini untuk rakyat Selangor selepas bersara nanti? Ada tak hasrat dan impian Tan Sri yang masih tidak tercapai dan apakah yang menjadi penghalangnya?

Jawapan:

Saya sangat berpuas hati dengan pencapaian yang saya lakukan. Sudah tentulah saya tidak boleh mengungkit-ungkit tentang perkara yang saya tidak boleh lakukan. Adalah lebih baik, apabila kita sudah lakukan barulah kita boleh menyatakan itu pencapaian kita.

Saya rasa adalah satu perkara yang tidak betul kalau kita kata tak boleh buat ini kerana sekatan-sekatan itu tak betul sebab saya sudah diberi peluang dan peluang itu sudah saya lakukan dan saya berharap dengan peluang ini, saya sudah lakukan dengan terbaik kepada rakyat Selangor.

Soalan 5:

Akhir sekali Tan Sri, umum berpendapat Tan Sri berjaya meletakkan satu penanda aras yang tinggi bagi mana-mana Menteri Besar selepas Tan Sri dan baru-baru ini Tan Sri berhasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Nampaknya keputusan ini – suka atau tidak, ia terpaksa ditelan rakyat Selangor. Jadi, apakah pesanan atau amanat Tan Sri kepada rakyat Selangor, kakitangan awam Kerajaan Negeri dan juga kepada tak kira sesiapa yang bakal menduduki kerusi besar Selangor selepas Tan Sri nanti?

Jawapan:

Saya ingat tiga konsep yang paling penting iaitu ketelusan, kebertanggungjawaban dan keupayaan. Jadi sesiapa pun yang akan memimpin negeri Selangor ini mesti menerima hakikat ketelusan. Maknannya rakyat boleh menyoal dan mengetahui tentang selok belok tentang perancangan dan perlaksanaan. Jadi Negeri Selangor sebelum 2008 melakukan usaha-usaha dan kerja secara rahsia tetapi  untuk menentukan kejayaan Negeri Selangor itu ketelusan itu diutamakan.

Rakyat memantau  setiap masa pemimpin tersebut.

Kedua sudah tentulah keupayaan. Keupayaan itu pemimpin yang berupaya. Pemimpin yang sanggup menggadaikan masa beliau dan mengutamakan pentadbiran untuk rakyat daripada pentadbiran untuk diri sendiri dan keluarga.

Ketiga ialah keupayaan kompentensi dari segi pembuatan, pengetahuan dan itu sudah tentulah sudah mestilah diikuti dari masa ke semasa. Akhir sekali tentulah pemimpin yang bertanggungjawab. Dia bertanggungjawab atas keputusan yang dibuatnya dan dia juga bertanggungjawab tentang hasil perlaksanaannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.