Categories
KENYATAAN MEDIA

ABIM: Suruhanjaya Diraja patut diwujud siasat kebocoran soalan UPSR

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan kekesalan yang amat mendalam terhadap pembocoran dua kertas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2014 iaitu mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris.

Kejadian ini memberikan imej yang cukup buruk terhadap Lembaga peperiksaan Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

UPSR BOCORPunca kepada kejadian ini adalah persepsi yang salah terhadap pendidikan. Pendidikan di Malaysia dianggap sebagai peperiksaan semata-mata. Ini diakui oleh Dr. Khodori, bekas Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Justeru masyarakat sanggup membuat apa sahaja demi mencatat kejayaan yangcemerlang dalam peperiksaan walau pun menyalahi moral,etika dan undang-undang.

UPSR adalah ujian untuk mengetahui tahap penguasaan pelajar diperingkat asas pendidikan negara.

Ia merupakan tapisan pertama untuk memasuki sekolah-sekolah pilihan diperingkat menengah.
Bagi mengendalikan ke’gila’an masyarakat awam yang obses dengan sekolah pilihan seperti sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), maka ABIM ingin mencadangkan agar:

1. Memperkenalkan secara lebih meluas peperiksaan atau ujian kemasukan yang khusus bagi sekolah-sekolah terpilih sedemikian.

2. Merapatkan jurang antara sekolah pilihan dan bukan pilihan dengan memperlengkapkan kemudahan, latihan,kecekapan dan sebagainya.

ABIM juga menuntut agar ditubuhkan satu jawatankuasa yang bebas seperti Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat perkara ini untuk membersihkan imej dan kepercayaan terhadap urus kendali peperiksaan dalam sistem pendidikan di Malaysia.

ABIM juga merakamkan kebimbangan terhadap pelaksanaan PT 3 yang akan dikendalikan secara sepenuhnya oleh sekolah pada bulan hadapan (Oktober).

Kebimbangan ini berasaskan kepada keputusan PT 3 yang akan digunakan sebagai syaratkemasukan ke sekolah-sekolah pilihan seperti SBP dan MRSM.

*Amidi BIN ABDUL MANAN Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Leave a Reply

Your email address will not be published.