Categories
KENYATAAN MEDIA

Akta Hasutan bukti pemerintahan Najib lebih zalim & anti demokrasi

Oleh: Institut Rakyat

Tindakan terkini kerajaan Barisan Nasional mendakwa ahli akademik Azmi Sharom di bawah Akta Hasutan, tatkala genap 57 tahun negara ini mencapai kemerdekaan, mencerminkan kepada dunia bahawa pemerintahan Najib Razak lebih zalim dan anti-demokrasi daripada yang terdahulu.

Ekoran dakwaan ke atas pemimpin Pakatan Rakyat Rafizi Ramli dan N. Surendran dari PKR, Khalid Samad dari PAS dan RSN Rayer dari DAP baru-baru ini, pensyarah Universiti Malaya ini merupakan mangsa terbaru didakwa di bawah akta tinggalan penjajah British lebih setengah abad lalu ini.

Prof AzmiSebagai seorang pakar undang-undang, adalah menjadi tanggungjawab Azmi Sharom untuk memberi analisa tentang fenomena sosio-politik dari perspektif perundangan agar massa dapat membuat penilaian sewajarnya berkenaan sesuatu isu, dalam kes ini isu perlantikan menteri besar Selangor.

Barangkali pandangan yang disuarakan ahli akademik tidak semestinya bersetuju dengan dasar pemerintah malah mempersoalkan kewajaran sesuatu dasar atau tindakan pemerintah demi kepentingan umum. Pandangan mereka terhasil daripada kajian yang mendalam dan proses pemikiran yang menyeluruh untuk memberi pencerahan dan mengundang perbahasan.

Maka sudah tentu tindakan yang diambil ke atas ahli akademik ini bukan sahaja menyekat kebebasan akademik tetapi melanggar prinsip kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Artikel ke-10 di mana setiap rakyat Malaysia berhak dan mempunyai kebebasan untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

Dakwaan Akta Hasutan ke atas Azmi serta pemimpin PR, termasuk kes mereka yang kini dalam perbicaraan seperti Teresa Kok, Chua Tian Chang dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, dan aktivis NGO Haris Ibrahim, Adam Adli dan Safwan Anang selepas PRU ke-13 mendedahkan hiprokrasi pemerintahan Najib yang berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan.

Najib berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan seawal Julai 2012 dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional. Pada tahun berikutnya selepas PRU ke-13, ketika ditemubual media asing BBC World News, Najib mengatakan kerajaan akan meminda akta tersebut untuk menjamin keamanan dan keharmonian negara.

Tahun ini, draf Rang Undang-undang (R.U.U.) Keharmonian Nasional dibentangkan kepada ahli Dewan Rakyat kedua-dua pihak BN dan PR pada bulan Jun untuk mengumpul pendapat, namun berita terkini menunjukkan bahawa draf yang bakal menggantikan Akta Hasutan ini tidak dapat disiapkan tahun ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, “tempoh masa untuk menyiapkan draf rang undang-undang itu agak sukar untuk ditetapkan”.

Sudah dua tahun berlalu sejak komitmen untuk memansuhkan akta zalim ini dibuat. Berbanding dengan Akta Perhimpunan Aman yang hanya mengambil masa kurang daripada tiga bulan untuk dibentuk dan diluluskan, sikap pemerintahan BN melengah-lengahkan pemansuhan Akta Hasutan memberi jawapan yang jelas.

Penggunaan akta ini secara aktif dan agresif terhadap pempinan PR, aktivis NGO dan terkini ahli akademik bukan setakat mendedahkan kepura-puraan Najib, malah ia mendedahkan kelemahan sebuah kerajaan minoriti yang terbentuk di atas sokongan undi 47 peratus, terpaksa memperalatkan akta zalim yang bukan digubal Malaysia yang merdeka, di Dewan Rakyat atas tuntutan rakyat Malaysia, untuk menyekat kebebasan bersuara agar mengongkong kebebasan berfikir supaya terus kekal berkuasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published.