Categories
SELANGOR

Azmin: Isu exco selesai kini masa bekerja

Oleh: AFEEQA AFEERA

SUBANG JAYA, 27 SEPT: Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menegaskan isu pemilihan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang diputuskan semalam sudah selesai dan tidak perlu dibangkitkan lagi oleh mana-mana pihak.

Beliau berkata semua nama yang dipilih untuk menjawat posisi Exco diputuskan parti komponen dalam Pakatan Rakyat (PR) dan dipersetujui semua pihak melalui permuafakatan bersama.

PC MB Azmin di SUK (5)Justeru katanya tumpuan PR Selangor kini adalah untuk terus bekerja bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di negeri itu.

“Isu ini sudah selesai. Nama yang kita kemukakan itu datang daripada beberapa parti komponen dan ia sudah diputuskan.

“Saya hormat pandangan pimpinan mereka tetapi bagi saya perbincangan itu sudah dijalankan.

“Sekarang masa untuk bekerja,” katanya selepas merasmikan Hari Komuniti Bandar Hijau Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di One City Mall, dekat sini hari ini.

Semalam, PAS Selangor menafikan pihaknya bersetuju berhubung pengurangan kuota Exco baru Kerajaan Negeri Selangor meskipun Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata ia adalah satu “pengorbanan” yang perlu dilakukan.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad dan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi dikekalkan dalam barisan Exco manakala Adun Taman Templer, Mohd Zaidy Abdul Talib dipilih sebagai muka baru.

Manakala, Dr Halimah Ali dan Sallehen Mukhyi yang berkhidmat dalam pentadbiran lalu digugurkan.

Dalam pada itu, Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa memaklumkan soal penyusunan portfolio Exco akan dibincang dalam tempoh dua hari ini sebelum semua Exco diberi tanggungjawab masing-masing.

“Semua Exco akan diberi tanggungjawab mengikut kemahiran masing-masing supaya mereka beri khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.