Categories
SELANGOR

Azmin: ‘Kita kerja kuat setiap hari, bukan 100 hari pertama’

Oleh: AFEEQA AFEERA

SUBANG JAYA, 27 SEPT : Pentadbiran Kerajaan Negeri yang baru perlu bekerja lebih kuat setiap hari dan bukan hanya 100 hari pertama sahaja dalam memastikan rakyat menerima perkhidmatan terbaik.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata terdapat pelbagai isu yang perlu diselesaikan segera terutama berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT) antaranya isu pengurusan sisa pepejal dan penyelenggaraan jalan raya.

PC MB Azmin di SUK (5)Selain itu, katanya isu pendidikan juga perlu diberi tumpuan khusus untuk memastikan rakyat menikmati pendidikan terbaik.

“Kita bincang dalam bajet akan datang bagaimana Kerajaan Negeri boleh main peranan untuk bantu PBT dan selain itu tumpuan kepada pendidikan juga harus diberi tumpuan.

“Jaminan jangka panjang kita adalah untuk mewujudkan masyarakat berilmu kerana dengan ilmu kita boleh bersaing dalam suasana global ketika ini,” katanya selepas merasmikan Hari Komuniti Bandar Hijau Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di One City Mall, hari ini.

Azmin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-15 pada 23 September lalu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pelantikan Azmin sekaligus menamatkan kemelut isu Menteri Besar yang menjadi perhatian umum sejak beberapa bulan lalu.

Semalam, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dilengkapkan dengan pelantikan sepuluh orang Exco di mana tujuh muka lama dikekalkan dan tiga muka baru dilantik.

Leave a Reply

Your email address will not be published.