Categories
SELANGOR

Azmin tumpu 4 keutamaan tingkat kesejahteraan rakyat

Oleh: AFIX REDZUAN

GOMBAK, 26 SEPT: Permasalahan sampah, demam denggi, keselamatan awam dan penyelenggaraan jalan menjadi fokus utama Mohamed Azmin Ali selepas dilantik menjadi Menteri Besar Selangor.

Ini kerana empat perkara utama yang disebutkan beliau memerlukan perhatian khusus dalam memastikan kesejahteraan rakyat Selangor.

MB AzminBercakap di hadapan jemaah di Masjid As Shariff, Simpang 3, Gombak semalam beliau menjelaskan, semua ketua jabatan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah dipanggil untuk bermesyuarat bersamanya Isnin ini bagi mendengar sendiri masalah mereka.

Selain itu, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Selangor bagi membincangkan soal keselamatan di negeri ini supaya diberikan tindakan segera.

Dalam mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi dan ketua jabatan pada Rabu beliau menjelaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberikan penting supaya budaya rasuah dapat dibenteras di semua peringkat.

“Saya mencadangkan semalam (kelmarin) supaya SPRM diberikan satu peranan yang cukup penting bagi membantu Kerajaan Selangor memerangi gejala rasuah sama ada dalam kalangan penjawat awam ataupun sektor swasta mahupun rakyat Negeri Selangor.

“Kerana sekali lagi, kekayaan Negeri Selangor ini; Alhamdulillah kita mempunyai rizab yang besar tetapi setiap sen itu mestilah dibelanjakan dengan berhemah dan telus yang memberikan manafaat kepada rakyat Selangor

Katanya, institusi masjid dan surau perlu diberikan perhatian khusus sebagai medan mempertahankan umat Islam termasuk pembinaan masjid baru, Masjid Zakaria di Gombak Setia.

Masjid berkenaan sepatutnya telah dibina memandangkan keadaannya kurang selesa untuk jemaah beribadah terutama pada hari Jumaat.

Peruntukan sebanyak RM6 juta telah diluluskan Kerajaan Negeri sebelum ini selain bayaran tapak baru bernilai lebih RM 3 juta juga sudah diselesaikan.

Beliau turut berikrar untuk menjaga semua kaun di negeri ini kerana perpaduan merupakan asas penting untuk membangunkan Negeri Selangor.

Sebelum itu, kariah masjid mengadakan Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat bersama beliau selepas dilantik menjadi Menteri Besar Selangor ke-15.

Mohamed Azmin turut mengerjakan solat Isyak secara berjemaah bersama hampir 200 orang sebelum mengambil kesempatan beramah mesra bersama mereka.

Turut hadir sama Adun Batu Caves, Amirudin Shaari, Adun Gombak Setia, Hasbullah Ridzuan dan Adun Taman Templer, Zaidy Abdul Talib serta Pegawai Daerah Gombak, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.