Categories
NASIONAL

Bahan api dikenakan cukai GST tambah beban rakyat

Oleh: SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 15 SEPT : Perlaksanaan GST penuh helah tersembunyi apabila kononnya pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak akan menyebabkan kenaikan melampau.

Ia berikutan kegagalan kerajaan mengumumkan petrol dan diesel termasuk dalam senarai pengecualian GST.

GST Grafik BaruPengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan berkata, jaminan Kerajaan Barisan Nasional bakal menjadi satu mitos moden apabila komoditi petrol dan diesel akan dikenakan cukai GST.

Beliau berkata, kenaikan hampir 15 sen seliter ini akan menjadi satu ‘chain reaction’ kenaikan harga barang yang merosakkan kuasa membeli rakyat Malaysia.

“Kami telah menjangka bahawa GST bakal menyebabkan kenaikan harga barang yang tidak mampu dikawal.

“Rakyat adalah mangsa kerana bukan sahaja tidak bersedia, malah tidak mengetahui perbelanjaan akan berganda khususnya selepas April 2015,” katanya dalam satu kenyataan media.

Selain itu, perlaksanaan GST versi Malaysia yang penuh dengan tipu daya apabila kerajaan mengumumkan tiada GST untuk bayaran tol namun setiap kali pengisian semula kad pra-bayar Touch n Go akan dikenakan GST.

Dalam masa sama, kerajaan secara berperingkat memperkenal tol tanpa laluan tunai yang memaksa pengguna memiliki kad pra-bayar (Touch n Go).

“Lebih malang ketika rakyat dikenakan GST, pelancong yang hadir ke negara ini dibenarkan ‘refund’ semula cukai GST yang dikenakan.

“Kerajaan seharusnya mengumumkan 85 senarai barangan dan perkhidmatan dikecualikan cukai sebelum pembentangan bajet 2015.

“Kerajaan juga wajar umumkan semua perkara berkaitan GST kerana ramai rakyat yang tidak mengetahui perkara ini,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.